Thaksin masuk hospital polis

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dimasukkan ke hospital polis berikutan mengalami masalah kesihatan pada hari pertama menjalani hukuman penjara selepas pulang ke tanah air, semalam.

Bagaimanapun status kesihatan Thaksin belum jelas setakat ini dan pegawai Jabatan Koreksional dilaporkan berkata, Thaksin mempunyai masalah sedia ada berkaitan jantung, paru-paru, tulang belakang serta tekanan darah.

Menurut laporan media, pihak enjara telah menilai keadaan dan mendapati ia kekurangan doktor serta peralatan perubatan untuk keperluan penjagaan pesakit berkenaan dan berikutan itu beliau dihantar ke hospital polis.

Semalam Mahkamah Agung Thailand menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas Thaksin, 74, selepas disabitkan kesalahan berkait penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan. Thaksin pulang, selepas 15 tahun hidup dalam buangan.

Thaksin, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 2001 hingga 2006 hidup dalam buangan sejak 2008 menghabiskan sebahagian besar masanya di Dubai selepas kerajaannya digulingkan oleh rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin.

Beliau meninggalkan Thailand pada Ogos 2008 untuk mengelak berdepan hukuman penjara.

Bagaimanapun Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara dua tahun tanpa kehadirannya kerana menyalahgunakan kuasa.

Thaksin baru-baru ini berkata beliau berhasrat untuk kembali ke Thailand walaupun perlu menjalani hukuman penjara dan tidak mahu kerajaan mendesak diberikan pengampunan.

Related posts

Leave a Comment