MB Selangor ‘sambung’ tugas

SHAH ALAM 22 Ogos – Menteri Besar Amirudin Shari memulakan tugas bagi penggal baharu di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, pagi ini.

Amirudin tiba pada pukul 7.58 pagi dan mengimbas cap jari dan kad pada perakam masa tepat pukul 8 pagi di Pejabat Menteri Besar di Tingkat 21 bangunan berkenaan.

Beliau disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Haris Kasim serta kakitangan pentadbiran Pejabat Menteri Besar.

Amirudin yang juga Menteri Besar ke-16 kemudian menghadiri perhimpunan penjawat awam serta melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Dewan Jubli Perak di sini.

Semalam Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar buat penggal kedua di Istana Alam Shah, Klang di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Amirudin dilantik semula jawatan itu selepas PH dan Barisan Nasional (BN) memenangi 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

Pada PRN itu, beliau mempertahan kerusi Sungai Tua yang disandang sejak 2008 selepas menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin dan G Suman (Bebas).

Related posts

Leave a Comment