11 parti bergabung bentuk kerajaan baharu Thailand

BANGKOK: Selepas tiga bulan Thailand berdepan dengan isu pembentukan kerajaan baharu, 11 parti diketuai Pheu Thai, bergabung untuk membentuk kerajaan baharu Thailand, yang membabitkan 314 kerusi di Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan bersama pemimpin parti Pheu Thai, Cholnan Srikaew, berkata, mereka bersetuju mencalonkan bekas hartawan hartanah, Srettha Thavisin sebagai calon tunggal untuk jawatan Perdana Menteri.

Cholnan yakin Srettha akan menerima undian mencukupi daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk dipilih sebagai Perdana Menteri. Srettha memerlukan undi majoriti daripada 500 Ahli Parlimen dan 250 senator bagi mengisi jawatan itu.

Selain Pheu Thai yang mempunyai 141 wakil, turut sama Bhumjaithai (71), Palang Pracharath 40), United Thai Nation (36), Chartthaipattana (10), Prachachat (9), Pue Thai Rumphlang (2) Chartpattanakla (2), Seri Ruam Thai (1), Plung Sungkom Mai (1) dan Thai Counties (1).

Menurut kenyataan itu, Pheu Thai bakal mengisi lapan portfolio menteri dan sembilan lagi jawatan timbalan menteri, termasuk Perdana Menteri.

Mereka juga bersetuju tidak akan menyentuh undang-undang lèse-majesté atau Perkara 112 Kanun Jenayah dan tidak akan memasukkan parti Move Forward (MFP) yang memenangi 151 kerusi sebagai rakan gabungan.

Baki kerusi Kabinet akan dikongsi antara parti Bhumjaithai (empat menteri dan timbalan menteri), Palang Pracharath (dua menteri dan dua timbalan menteri), United Thai Nation (dua menteri dan dua timbalan menteri).

Parti Chartthaipattana dan Prachachat masing-masing akan mendapat satu portfolio menteri manakala baki parti yang lebih kecil, yang mempunyai satu atau dua kerusi , tidak mendapat sebarang jawatan Kabinet.

Setakat ini belum diketahui parti mana yang akan mendapat portfolio bagi semua kementerian.

Kabinet Thailand terdiri daripada 35 menteri dan timbalan menteri serta seorang Perdana Menteri.

Menurut kenyataan itu, semua 11 parti bersetuju untuk melaksanakan dasar manifesto pilihan raya Pheu Thai, seperti gaji minimum dinaikkan 600 baht (RM79) pada 2027 dan gaji minimum 25,000 baht (RM3,308) untuk graduan ijazah sarjana muda.

Selain itu, menamatkan kerahan tenaga kerja, subsidi dompet digital 10,000 baht (RM1,323) untuk semua warga Thailand berusia lebih 16 tahun, meningkatkan harga produk ladang, pindaan perlembagaan dan ganja bagi tujuan perubatan.

Mengenai pindaan perlembagaan, 11 parti itu bersetuju untuk tidak menyentuh mengenai monarki.

Parti-parti itu juga bersetuju untuk menyesuaikan dan menggabungkan dasar mereka untuk manfaat rakyat secara menyeluruh dan memberi keutamaan bagi menangani masalah ekonomi.

Related posts

Leave a Comment