Bina semula keyakinan kepada BN

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui, gabungan parti itu sedang menghadapi penolakan besar rakyat, yang memerlukan BN bergerak lebih agresif membina semula keyakinan mereka.

Katanya,  bukan suatu yang mustahil untuk BN kembali diyakini rakyat, memandangkan situasi sebegitu dianggap lumrah biasa dalam politik.

“Dalam cabaran yang kita hadapi sekarang, ketika UMNO dilanda penolakan orang Melayu. UMNO, MIC, MCA dan PBRS harus bangun semula dapatkan dokongan rakyat.

“(Penolakan) ini memberi landskap yang tidak sihat (kepada negara). Sokongan (kepada BN) yang merudum pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh dibina semula,” katanya berucap melancarkan pembinaan bangunan baru MIC di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden MIC, SA Vigneswaran dan timbalannya, Datuk Seri M Saravanan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, gabungan BN tidak boleh mempunyai agenda untuk meminggirkan di antara satu sama lain dalam usaha membina semula sokongan rakyat kepada BN.

“Kita kena sokong antara UMNO, MIC, MCA serta PBRS dan juga rakan-rakan dalam Friends of BN. Sejarah sering ada putarannya. Kita sedang hadapi penolakan ini, yang agak ke bawah (kedudukan BN). Tapi tidak selalunya yang di bawah ini akan terus di bawah kalau kita ada usaha untuk naikkan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dianggap jalan terbaik memulihkan semula imej gabungan itu, disamping memerlukan komitmen tinggi parti komponen di semua peringkat.

Timbalan Perdana Menteri itu yakin BN akan naik semula selepas cabaran ini dan mengharapkan komitmen bukan hanya kepimpinan atasan, tetapi di semua peringkat sama ada nasional, negeri, Parlimen dan DUN.

Pada PRU ke-15 November lalu, BN hanya menang di 30 kerusi Parlimen dari 222 yang ditandingi mereka, sementara pada PRN, BN yang diwakili UMNO hanya menang di 19 kerusi DUN dari 108 kerusi yang ditandinginya.

Related posts

Leave a Comment