Seri Paduka sampai sumbangan

KLANG 20 Ogos – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada waris-waris mangsa nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina berdekatan Lebuhraya Guthrie di Shah Alam, Selangor pada Khamis lalu.

Sumbangan itu diserahkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral  Zahari Mohd Ariffin dalam kunjungan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Masjid Jamek Ar-Rahimiah di Klang hari ini.

Menurut hantaran di Facebook Istana Negara hari ini, dalam kunjungan itu Zahari turut menyampaikan ucapan takziah Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada semua waris dan ahli keluarga atas pemergian mengejut insan tersayang ke Rahmatullah.

“Seri Paduka Baginda berdua turut berdukacita dan menzahirkan harapan agar semua keluarga tabah dan sabar menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.

Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” menurut catatan itu.

Antara waris mangsa yang menerima sumbangan ialah balu kepada Shaharul Amir Omar, balu Muhammad Taufik Mohd Zaki, balu Khairil Azwan Jamaluddin, balu Shahrul Kamal Roslan, balu kepada Sharipudin Shaari, abang kepada Heikal Aras Abdul Azim dan balu kepada Mohammad Naim Mohamed Muidi.

Dalam insiden itu, 10 individu maut, antaranya ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Johari Harun.

Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat itu, manakala dua lagi adalah orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang melalui kawasan kejadian.

Related posts

Leave a Comment