KLANG 20 Ogos – Keluarga Allahyarham Ustaz Idris Abdol Talib yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.bersyukur melihat jenazah mangsa dalam keadaan sempurna ketika proses pengecaman.
Abang ipar Allahyarham, Ahmad Fariz Ahmad Rusli berkata, ketika pengecaman, badan adik iparnya kelihatan sempurna.
“Dari hujung rambut sampai ke kaki, lengkap (badannya). Rambut dia juga tidak terbakar, saya sendiri pegang. Dia golongan yang dipelihara oleh Allah SWT,” katanya kepada media di Masjid Jamek Ar Rahimiah, hari ini.
Beliau berkata, isteri mangsa, Adlina Aishah, kelihatan baik walaupun baru sahaja melahirkan anak kurang dua bulan yang lalu.
Bagaimanapun katanya, anak-anak Allahyarham yang berusia 14 dan 10 tahun dilihat masih sukar menerima kehilangan ayah mereka.
Menurut Ahmad Fariz, Idris adalah seorang yang sangat mudah berbincang, baik dan hanya bercakap perkara yang penting.
Adik iparnya adalah penguat kuasa di pejabat agama Islam Raub, Pahang dan bercuti tanpa gaji selama setahun kerana mengikuti Exco Pahang yang juga ADUN Pelangai, Johari Harun sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas.
“Jenazah akan kami bawa Masjid Tengku Sulaiman di Ketari, Bentong untuk disolatkan kali kedua kerana ramai waris menunggu di situ. Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Barak, Benus, Bentong selepas itu,” katanya.
(Foto: Allahyarham Idris (kanan)
