PUTRAJAYA 12 Ogos – Lebih 9.67 juta pemilih berdaftar akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hari ini bagi memilih wakil rakyat di 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk tempoh lima tahun akan datang.
PRN ini membabitkan pertandingan 40 kerusi DUN di Pulau Pinang, Selangor (56), Negeri Sembilan (36), Kedah (36), Terengganu (32) dan 45 DUN di Kelantan.
Turut diadakan pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lepas yang membatalkan kemenangan calon Pas Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 selepas mendapati berlaku perbuatan rasuah.
Kesemua pusat pengundian di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan termasuk di Kuala
Terengganu dijadual dibuka serentak bermula pukul 8 pagi dan ditutup pada 6 petang.
Sebanyak 9,674,456 pemilih berdaftar mengundi di 3,190 pusat pengundian yang mengandungi 17,048 tempat mengundi atau saluran, manakala 122,160 pengundi akan terlibat dengan proses pengundian di PRK Parlimen Kuala Terengganu melalui 41 pusat mengundi yang mengandungi 217 saluran.
Sebelum ini, pada 8 Ogos, berlangsung pengundian awal PRN yang menyaksikan 72,554 anggota keselamatan dan pasangan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan jumlah peratusan keluar mengundi di Kedah 96.02 peratus, Terengganu (95.91), Selangor (95.87), Pulau Pinang (95.01), Negeri Sembilan (94.05) dan Kelantan (93.90).
Pengundian awal pada hari sama bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu pula melibatkan seramai 1,286 pengundi atau 95.47 peratus anggota tentera dan polis serta pasangan masing-masing.
Sebanyak 570 calon disahkan layak bertanding manakala PRK Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan dan Pas.
Bagi PRN dan PRK berkenaan, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula 29 Julai selepas pengisytiharan calon-calon yang layak bertanding dan berakhir pada 11.59 malam tadi.
