BAGAN 10 Ogos – Sekali lagi kuasa ‘maharaja’ mendorong seorang pemimpin DAP meninggalkan parti itu hari ini menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
Bekas Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang melepaskan semua jawatan parti dan mengumumkan keluar parti itu.
“Ini adalah keputusan paling berat yang pernah saya lakukan,” katanya penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai itu dalam sidang media hari ini.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mempertimbang faktor pimpinan DAP Pusat terlalu bergantung kepada ‘maharaja’ yang menjadi punca krisis kepemimpinan DAP Pulau Pinang.
Ramasamy memberitahu, beliau sudah mengutus surat bagi tujuan berkenaan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Pengerusi DAP, Pulau Pinang Chow Kon Yeow masing-masing pada pukul 8.24 dan 8.25 pagi ini.
Beliau juga menyatakan belum berhasrat menyertai mana-mana parti politik mahupun menubuhkan parti baharu, selain akan terus menyokong gabungan Pakatan Harapan (PH), terutama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Kon Yeow.
“Keputusan meninggalkan DAP sangat sukar kerana sudah menganggotai parti ini sejak 2005, selain mula aktif (dengan DAP) sejak masih berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia lagi.
Namun, DAP bukan lagi parti dikenali ketika itu dan semakin kurang menghargai perbezaan pendapat dan sikap keterbukaan dari dalaman parti. Mereka yang bersuara menentang kerajaan dipandang sebagai pengacau serta pengganggu.
“Malah, senarai calon dikemukakan Kon Yeow diketepikan, selain ada kemungkinan beliau tidak memegang jawatan Ketua Menteri untuk tempoh sepenggal, walaupun sudah diberi jaminan oleh pemimpin parti peringkat nasional,” katanya.
Ramasamy dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II selepas menang di Parlimen Batu Kawan dan DUN Perai pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), pada 2008 dan berkhidmat sebagai wakil rakyat Perai selama 15 tahun.
Pada program sama, bekas ADUN Sabai yang juga Naib Pengerusi DAP Pahang D Kamache; Naib Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP (DAPSY), K Jason Raj dan Ahli DAP Cawangan Taman Inderawasih, K Krishnasamy turut mengumumkan keluar parti itu.
Sementara itu, Ramasamy mengakui tidak kisah digelar ‘anggur masam’ susulan tindakannya keluar dari DAP, selain menegaskan beliau tidak mempunyai pilihan lain dan berharap dapat berfungsi dalam persekitaran politik tanpa kekangan.
“Tindakan menggugurkan saya bukanlah suatu isu, namun bagaimana ia dilaksanakan yang penting. Ia adalah penyingkiran tanpa penghargaan kepada khidmat kami.
“Saya sedar mungkin tidak akan mempunyai tempat dalam DAP lagi pada masa hadapan. Namun, saya perlu berani membuat beberapa perancangan mengenai peranan dalam arena politik tanah air secara menyeluruh.
“Saya akan terus berjuang untuk menentang ketidakadilan, diskriminasi dan penindasan terhadap semua lapisan masyarakat serta golongan kurang bernasib baik,” katanya.
Ramasamy antara lima Exco negeri yang digugurkan sebagai calon PRN selain Chong Eng, Phee Boon Poh, Yeoh Soon Hin dan Soon Lip Chee serta bekas ADUN Bagan Dalam, M Satees.
Seorang lagi, ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit turut digugurkan tetapi kerana masalah kesihatan.
Sementara itu di Tasek Gelugor, Kon Yeow mengakui tindakan Ramasamy memberi impak kepada pola pengundian, terutama dalam kalangan masyarakat India.
Sehubungan itu, beliau , merayu agar bekas Timbalan Ketua Menteri II itu membatalkan hasratnya dan kembali menganggotai DAP.
(Foto FB M.Satees)
