PRN medan ajar pengkhianat PKR

SEREMBAN 9 Ogos – Presiden PKR Anwar Ibrahim menegaskan, Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini adalah medan untuk mengajar pengkhianat kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Presiden PKR itu turut mengambil contoh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan dan Hulu Kelang yang masing-masing ditandingi oleh bekas pemimpin parti itu iaitu Dr Mohamad Rafie Ab Malek dan Mohamed Azmin Ali.

“Ampangan penting kerana ada pengkhianatan dari dalam PKR. Di mana-mana saya ajar, satu hal yang tidak boleh diizinkan pengkhianatan dalam perjuangan.

“Sebab itu saya dan (Pengerusi Barisan Nasional) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan ke Hulu Kelang sekali lagi pada hari Khamis malam untuk mengajar si pengkhianat, si kitol dan raja mendeliar.

Dalam sejarah budaya Melayu, tidak akan ampunkan pengkhianat,” katanya semasa berucap pada Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut mempersoalkan mengapa Pas dan Bersatu ketika memerintah kerajaan sebelum ini tidak membuat mesyuarat penyelarasan gaji dan elaun untuk penjawat awam, polis serta tentera.

Beliau turut menafikan bahawa pengumuman penyelarasan gaji dan elaun olehnya ada kaitan dengan PRN yang berlangsung di enam negeri.

“Ini bukan sebab PRN enam negeri, tidak! Dari awal saya ambil alih (kerajaan) bulan Januari, saya sebut kita kena kaji semula skim gaji dan pencen penjawat awam, polis, tentera dan semuanya.

“Soalnya mengapa Pas dan Bersatu tak buat mesyuarat ini? Mengapa tidak ada rancangan? Masa ada kuasa pasal apa tak tolong polis, tentera, pekerja dan penjawat awam. Ini soalnya,” katanya.

Beliau berkata, pilihan raya ini juga adalah bagi memilih parti dan kerajaan yang mampu untuk melakukan perkara seperti itu.

Related posts

Leave a Comment