MUDA mahu peranan semak imbang

TANJONG 9 Ogos – Jika menang mana-mana tiga kerusi ditandingi di Pulau Pinang Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan mengambil peranan pembangkang sebagai semak dan imbang untuk memastikan suara rakyat didengari.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata ia adalah pendirian parti itu ketika ini meskipun kemungkinan besar gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan meraih majoriti selesa membentuk kerajaan negeri.

“Dalam kedudukan itu, keutamaan saya, yang saya tetap akan bawa kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA untuk bercakap mengenainya, kita akan menjadi pembangkang kerana kita mahu semak dan imbang untuk memastikan suara rakyat didengari.

“Sebab tu bagi MUDA tidak ada perubahan Kerajaan Persekutuan tapi bagi MUDA kita nak fokus jadi semak imbang, kita tidak akan menyokong membuta tuli kalau perkara itu salah kita tolak.

“Pada masa yang sama, kami mahu menjadi suara hati nurani rakyat, alternatif yang betul, pembangkang yang betul,” katanya kepada pemberita selepas program Ceramah Bajet MUDA Pulau Pinang di Pantai Jerejak di sini, malam tadi.

Syed Saddiq turut melihat jika berlaku situasi Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung, keutamaan MUDA adalah bekerjasama dengan sebuah gabungan yang percaya kepada Malaysia yang berbilang kaum, agama dan berpaksikan reformasi yang sederhana.

Ahli Parlimen Muar itu turut menegaskan, keutamaan MUDA bukan berunding untuk mendapatkan jawatan tetapi berunding untuk dasar yang memihak kepada rakyat.

Tambahnya, MUDA turut mempunyai tuntutan mereka sendiri terutamanya dalam memastikan pengisytiharan aset dilakukan, had penggal, kebimbangan soal pemusatan kuasa kuasa, pendirian pro-alam sekitar dan isu berkaitan perubahan iklim.

“Saya beri contoh kalau ia isu berkenaan tebus guna tanah, isu sangat sensitif MUDA akan jumpa wakil masyarakat pastikan bahawa apa-apa pembangunan itu mampan tidaklah sampai boleh menidakkan suara komuniti atau masyarakat di sana.

“Jelas bagi MUDA kita tidak menyokong membuta tuli sebab itu di Parlimen contohnya apabila isu LCS (kapal tempur pesisir) saya tidak berdiam diri saya bangkitkan dan cadangkan resolusi khas untuk isu ini dibahaskan di Parlimen.

“Dalam bab ini saya akan maklumkan kepada semua pimpinan MUDA jangan takut bersuara demi rakyat. Biarlah kita nak diambil tindakan atau tidak tapi kita di sini untuk rakyat kita wajib bela rakyat. Itulah semak imbang bagi kami,” katanya.

Syed Saddiq, yang turun padang berkempen di tiga kerusi DUN yang ditandingi MUDA iaitu di Pantai Jerejak, Batu Uban dan Perai menyifatkan sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan agak mengejutkan beliau.

“Kami terhutang budi kepada orang ramai yang datang menyumbang dan menjadi sukarelawan tanpa mengharapkan balasan.

“Saya fikir ia menandakan perkembangan yang sangat baik yang saya sangat menghargainya,” katanya.

Mengulas mengenai kerusi yang mana dilihat mempunyai peluang yang adil untuk dimenangi, Syed Saddiq berkata MUDA mengambil serius semua kerusi yang ditandingi mereka di semua negeri termasuk Terengganu dalam PRN kali ini.

“Kami akan menuju ke sana dua hari ini iaitu pengasas bersama parti yang juga pemimpin kanan kami bertanding di kerusi ‘hardcore’ Pas yang menyaksikan PH pernah hilang deposit pada Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya.

Related posts

Leave a Comment