Anwar optimis PRN memihak kepada PH-BN

NIBONG TEBAL 8 Ogos – Perdana Menteri  Anwar Ibrahim optimis keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini akan memihak kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)

Pengerusi PH itu berkata, sentimen penerimaan rakyat kepada PH dan BN ketika ini semakin meningkat berbanding tahun lalu.

Beliau yang juga Presiden PKR itu berkata, orang ramai juga sudah bijak dan mampu menilai kesahihan berhubung fitnah membabitkan ancaman terhadap Islam yang sering dimainkan Perikatan Nasional (PN), sebelum ini.

“Dulu dia (rakyat) dengar semua yang negatif, ‘Anwar akan tarik balik hak Islam’ dan (sentimen) ini dijadikan fitnah hingga menjadi budaya serta orang percaya.

Sebahagiannya sudah tengok (dakwaan berkaitan Islam tergugat) tak jadi. Pelajar tidak pakai skirt pun sekarang. Jadi saya ingat itu mengubah (penerimaan orang ramai).

“Ada orang yang dulunya kata baik dengan PH tetapi percaya pada tohmahan yang kita akan menjadi alat kepada DAP untuk menentang Islam jadi sekarang terbukti tidak,” katanya selepas beramah mesra bersama masyarakat Sungai Bakap di sini, hari ini.

Sementara itu, Anwar menempelak tindakan PN terus menggunakan slogan ‘Bersih’ sedangkan gabungan itu terpalit dengan pelbagai skandal rasuah membabitkan nilai yang sangat besar.

“Dia (PN) kata ‘Bersih’ itu tiada sebab. Seperti kita ketahui, kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (membabitkan) menantu kepada calon Perdana Menteri mereka pun sudah lari.

“Mana boleh, kalau ada bukti, siasat dan dakwa. Kalau dia rasa tak bersalah, dia pertahankanlah. Lari bukan contoh yang baik.

“Kamu kena jagalah kerana jumlah (kes) yang dikaitkan dengan rasuah itu banyak. Jadi soal bersih, PN tak boleh guna bersih kerana mereka terlalu terpalit dengan (skandal) rasuah besar,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.

Related posts

Leave a Comment