Pakej 5G Rahmah mulai 31 Ogos

KUALA LUMPUR 8 Ogos –  Lima penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) akan melancarkan Pakej 5G Rahmah dan Insentif Pascabayar Rahmah Penjawat Awam pada 31 Ogos bersempena Bulan Kemerdekaan negara.

Syarikat yang terlibat adalah CelcomDigi Bhd (CelcomDigi), Maxis Bhd (Maxis), Telekom Malaysia Bhd (Unifi Mobile), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) dan YTL Communications Sdn Bhd (Yes).

Langkah itu sebagai tanda sokongan ke atas rangka kerja Ekonomi Madani membabitkan ketersambungan dan peranti mampu milik.

“Penyedia perkhidmatan telekomunikasi akan terus bekerjasama rapat bagi merapatkan lagi jurang digital.

“Pakej 5G Rahmah dan Insentif Pascabayar Rahmah Penjawat Awam akan dilancarkan pada 31 Ogos ini. Pelanggan dinasihatkan untuk menyemak laman web penyedia perkhidmatan untuk pakej yang tersedia,” kata satu kenyataan.

Semalam Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan penjawat awam akan menikmati rebat RM10 sebulan bagi langganan pakej pascabayar masing-masing menerusi Insentif Postpaid Rahmah Penjawat Awam berkuat kuasa 31 Ogos ini.

Fahmi berkata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), syarikat telco serta dua syarikat pengeluar peranti iaitu Samsung Malaysia dan Honor Malaysia juga menawarkan Pakej 5G Rahmah bermula 31 Ogos ini.

Pakej 5G Rahmah ialah pakej telefon pintar 5G pelan data dengan harga telefon pintar jenama Samsung A14 5G dan Honor 90 Lite 5G ditawarkan serendah RM240 berserta pelan data sebanyak 60GB pada harga RM60 sebulan.

Pakej ini terbuka untuk dilanggan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Bagi golongan B40 pula, seramai 100,000 pelanggan terawal akan menikmati Pakej 5G Rahmah pada harga telefon pintar serendah RM120.

Pakej 5G Rahmah akan berada di pasaran bermula pada 31 Ogos ini dengan kontrak langganan selama 24 bulan yang turut menawarkan tempoh jaminan dua tahun berbanding hanya satu tahun sebelum ini.

Fahmi pada 31 Julai lalu dilaporkan berkata, harga internet dijangka lebih murah menjelang September ini apabila Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) diguna pakai.

 

 

Related posts

Leave a Comment