Kenapa pembelian panik?

PEMBELIAN panik tidak dapat dielakkan. Di kebanyakan tempat orang ramai menyerbu pusat beli-belah membeli  barang keperluan. Kebimbangan mereka akan berlaku Lockdown di mana aktiviti terhad, seperti perintah berkurung. Ada juga yang menetapkan waktu tertentu. Hakikatnya tidak semua operasi perniagaan ditutup.

Difahamkan pembelian panik bermula malam tadi apabila terdapat beberapa kenyataan yang dilihat menjurus ke arah itu.

Lebih mencemaskan pula timbul laporan mengenai Kementerian Kesihatan dalam fasa pembendungan akhir dan ditambah pula ayat cadangan supaya membeli barang keperluan asas. Kemudian muncul pula kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersetuju mencadangkan penutupan masjid selama 10 hari.

Walaupun bukan Jakim yang mengeluarkan kenyataan itu tetapi ia bukan palsu kerana itu adalah kenyataan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu catatan di Instagram. Katanya, solat jemaah serta solat Jumaat juga disarankan tidak diadakan sepanjang tempoh itu.

“Selepas satu sessi muzakarah khas malam tadi, berasaskan pandangan KKM, Alhamdulillah, pihak Jakim bersetuju mencadangkan agar masjid-masjid ditutup dari semua aktiviti termasuk solat jemaah dan Solat Jumaat selama 10 hari. Penamatan atau perlanjutan tempoh selepas itu akan dimaklumkan semula berdasarkan taklimat KKM. Pengumuman rasmi akan dibuat nanti,” tulis Dr Asri di akaun Instagramnya.

Kemudian, muncul kenyataan Mufti Negeri Sembilan mengenai perkara yang sama. Maka secara tidak langsung laporan itu benar tetapi ia melibatkan masjid dan surau sahaja.

Begitulah senario yang menyebabkan orang ramai semakin panik. Perintah berkurung itu yang mencemaskan sedangkan ramai yang tidak faham apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan perintah berkurung itu sekiranya ia benar berlaku. Rasanya tak sama seperti dulu. Keluar rumah kena tangkap!

Anggaplah ‘perintah berkurung’ ini jika berlaku umpama kuarantin diri dan keluarga bagi mengelakkan terdedah kepada jangkitan terutama di tempat tumpuan ramai. Hadkan aktiviti luar. Utamakan penjagaan kesihatan dan kebersihan.

Beri peluang Kementerian Kesihatan mengesan mereka yang berisiko dijangkiti. Pada masa yang sama, pihak berkuasa perlu lebih pantas memintas berita atau laporan yang meragukan. Kadang-kadang berita palsu itu bergerak pantas. Ambillah tindakan tegas kepada mereka yang terlibat mencetuskan rasa tidak tenteram ketika kita bergelut dengan Covid-19:ini.

Seperkara lagi eloklah dalam isu-isu kepentingan rakyat dan negara pihak berkuasa dapat menyelaraskan sebarang pengumuman. Biar nampak kesepakatan, bukan terikut-ikut dengan kaki WhatsApp yang ingin menjadi orang terawal menyebarkan maklumat walaupun maklumat itu benar.

Dalam istilah media, golongan seumpama ini tidak menghormati  embargo.

Related posts

Leave a Comment