BAGHDAD: Sebuah jawatankuasa siasatan khas’ ditubuhkan bagi menyiasat pembunuhan seorang bintang TikTok ternama Iraq yang ditembak oleh penunggang motosikal bersenjata di hadapan rumahnya di tengah Baghdad.
Pempengaruh media sosial itu, Ghufran Sawadi, atau lebih dikenali sebagai Umm Fahad, ditembak mati di luar rumahnya di ibu kota Iraq pada Jumaat malam.
Menurut lapor media antarabangsa, seorang pegawai keselamatan berkata, penyerang itu melepaskan tembakan ke arah Umm Fahad selepas mangsa meletakkan kereta Cadillac yang dipandunya di hadapan rumah.
Sejurus melepaskan tembakan, suspek merampas telefon bimbit Umm Fahad dan segera melarikan diri dari tempat kejadian.
Umm Fahad meraih populariti di platform media sosial TikTok melalui perkongsian video dia menari mengikut muzik pop dengan pakaian yang sesuai.
Sebelum ini, penyiaran video sedemikian dianggap tidak sesuai oleh badan kehakiman Iraq.
Dia juga pernah dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana ‘jenayah menghasilkan dan menerbitkan beberapa filem dan video yang mengandungi bahasa lucah serta tidak senonoh selain melanggar kesopanan dan moral awam.
Pada September 2023, seorang personaliti TikTok Iraq yang popular, Noor Alsaffar atau lebih dikenali sebagai Noor BM, seorang transgender, turut ditembak mati di Baghdad.
Noor Alsaffar yang mempunyai lebih 370,000 pengikut di Instagram dan TikTok pula memilih berkongsi hantaran video pendek mengenai fesyen, rambut dan solekan serta sering menari mengikut alunan muzik.
