Mohon maaf atau hadapi saman

SHAH ALAM 3 Ogos – Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memberi tempoh 24 jam kepada dua individu yang didakwa memfitnah kononnya beliau memberi ceramah politik di sebuah masjid di Rawang baru-baru ini supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik tuduhan atau berdepan tindakan saman.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan itu berkata notis tuntutan telah dihantar oleh peguamnya kepada penceramah bebas Ahmad Dusuki Abdul Rani dan pentadbir Laman Facebook ‘N13 Kuang’ petang Rabu.

Fahmi berkata notis itu bagi membersihkan namanya daripada tuduhan mengadakan ceramah di masjid sedangkan beliau hanya menjelaskan tindakan mengharamkan kumpulan muzik The 1975 seperti diminta oleh ahli jawatankuasa masjid ketika singgah solat di situ.

Masa itu ada orang tangkap gambar dan tulis saya ceramah tanpa tauliah, berpolitik dan kempen di dalam masjid sedangkan ia bukan begitu.

“Alhamdulillah, petang tadi Ketua Polis Selangor mengumumkan setelah 22 saksi disiasat, beliau kata saya, Fahmi Fadzil, tidak bersalah,” katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan sempena PRN Selangor di Sungai Kandis dekat sini semalam.

Beliau berkata notis itu, antara lain, adalah bagi menunjukkan bahawa perbuatan memfitnah tidak boleh sama sekali dikompromi terutama dalam kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri yang sedang berlangsung.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor  Hussein Omar Khan mengesahkan tidak ada sebarang unsur kempen politik dalam ucapan Fahmi yang dilaporkan berlaku di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada Ahad lepas.

Sebelum ini Ahmad Dusuki melalui Facebooknya berkata,  jelas seorang menteri yang tiada tauliah berucap di dalam masjid di mana terang terang melanggar arahan Tuanku Sultan Selangor.

“Di saat musim pilihan raya negeri sedang berlangsung, kita tunggu apa tindakkan yang akan di lakukan oleh Jabatan agama Islam Selangor? Sebelum ini telah ramai di kalangan para asatizah dihadap ke mahkamah atas alasan hanya tiada tauliah, yang ni bukan hanya tiada tauliah, bahkan pemimpin politik!! kita tunggu!!!,” katanya.

Related posts

Leave a Comment