KOTA BHARU 30 Julai – Naib Presiden Pas Mohd Amar Nik Abdullah menafikan tuduhan mengatakan beliau punca yang menyebabkan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tidak tercalon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.
Sambil menyifatkan fitnah, Timbalan Menteri Besar, itu menegaskan, nama bekas Ahli Parlimen Bachok itu tidak tersenarai dari awal untuk kerusi DUN berkenaan.
“Itu fitnah apabila mengatakan saya yang menghalang sedangkan beliau (bapa saudara Mohamad Abduh) tidak terbabit dalam mesyuarat pimpinan parti selain tiada jawatan dalam parti.
“Saya tidak tahu dari mana sumber beliau mendapat maklumat sedemikian termasuk menyentuh surat daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya selepas Majlis Memperkenalkan Calon DUN Dalam Parlimen Pengkalan Chepa.
Terdahulu adik kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan Mohd Amar adalah punca kepada anak saudaranya, Nik Mohamad Abduh tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan.
Nik Din Nik Mat turut mendedahkan, nama anak saudaranya itu pada awalnya ada sebelum ditolak oleh Mohd Amar, malah Presiden Pas sendiri turut menghantar surat meminta Pas Kelantan menyenaraikan nama Nik Mohamad Abduh.
Dakwanya, tindakan itu dibuat kerana calon DUN Panchor itu tidak mahu keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz bertapak di Pengkalan Chepa.
Pendedahan itu dikongsikan menerusi satu rakaman video berdurasi dua minit 33 saat yang tular sejak petang semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, isu membabitkan Nik Mohamad Abduh sepatutnya sudah jelas apabila kedua-dua pihak iaitu Nik Mohamad Abduh dan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man sudah menjelaskan perkara ini.
Tuan Ibrahim sebelum ini sudah jawab Nik Mohamad Abduh tidak mahu bertanding dan Nik Abduh sendiri juga mengatakan tidak berhasrat dan tiada masalah tidak bertanding kerana mahu menguruskan sekolah agama.
“Jadi, kenapa orang lain yang perlu membuat tuduhan. Bagi saya perkara itu tidak betul,” katanya.
Bagaimanapun, beliau percaya isu berkenaan tidak menjejaskan sokongan pengundi di DUN Chempaka dan Panchor.
“Saya tidak berhasrat untuk mengambil sebarang tindakan kerana merasakan beliau tidak mendapat maklumat yang betul. Fokus kita adalah menang dalam PRN. Bagi saya isu seperti ini adalah biasa terutama ketika PRN,” katanya.
Pada masa sama beliau turut menjelaskan hubungannya dengan Nik Mohamad Abduh adalah baik.
