Digugur atas arahan Aminuddin, Rafizi?

SEREMBAN 30 Julai – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek mendakwa namanya tidak disenaraikan sebagai calon berikutan arahan Naib Presiden PKR, Aminuddin Harun.

Malah, dakwahyq lqgi, arahan itu turut dikeluarkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, sambil mendakwa perkara itu dimaklumkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim pada Sabtu lalu.

“Selepas kenyataan yang saya keluarkan pada 25 Julai lalu, Anwar hubungi saya mengarahkan supaya saya tidak bertanding dan meminta menyokong calon pilihan beliau.

“Saya maklumkan yang beliau adalah presiden malah perdana menteri, kenapa perlu dengar dua individu itu yang sememangnya bermain politik dan niat menjatuhkan saya,” katanya seperti dilaporkan BH.

Semalam, Mohamad Rafie membuat kejutan di Pusat Penamaan Calon DUN Ampangan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini, apabila tampil sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, penjelasan Anwar jelas menunjukkan perdana menteri lebih fokus kepada perseteruan politik dan gagal mentadbir negara dalam tempoh lapan bulan ini.

“Maka saya buat keputusan wajar untuk bertanding sebagai calon Bebas yang menggunakan simbol pokok, melambangkan keharmonian dan saya yakin masyarakat Ampangan akan sokong saya,” katanya.

Menurutnya, beliau mahu mengubah naratif politik supaya mana-mana individu yang berkelayakan, berani tampil menawarkan diri sebagai calon dan bukan hanya berpaut pada sesuatu parti saja.

Beliau berkata, kebanyakan parti politik kini dilihat bermasalah kerana dicorakkan mengikut arahan ketua atau pemimpin utama dengan ‘mencantas’ mana-mana individu yang dikehendaki.

“Kalau mereka layak dan boleh berkhidmat, mereka boleh tawarkan diri, tapi dalam konteks negara kita, pemimpin dicorakkan oleh kepartian dan sebab itu kita tengok banyak parti yang rosak.

“Orang yang menguasai parti boleh lakukan apa saja, membuli kehendak mereka (orang bawahan) tanpa menilai apa yang baik dan yang boleh berkhidmat untuk masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau mengakui bukan mudah membuat keputusan bertanding sebagai calon Bebas kerana dirinya ibarat menaiki tongkang kecil dalam gelora ombak besar.

“Dulu dalam PKR, saya menaiki kapal yang agak besar walaupun menongkah arus, tapi saya dihubungi ramai pengundi Ampangan yang minta perbetulkan keadaan dan bertanding sebagai calon Bebas,” katanya.

Katanya, keputusan nekad itu lebih banyak didorong oleh masyarakat di DUN Ampangan yang masih perlukan perkhidmatannya untuk terus majukan kawasan terbabit.

“Saya nak jadi orang Yang Bekerja (YB) bukan Yang Berhormat dan saya telah buktikan ketika menjadi ADUN Ampangan.

“Saya juga harap rakyat boleh menilai apa berlaku dan kita tolak politik kepartian yang membuli dan mencantas mengikut kehendak beberapa individu menguasai parti itu,” katanya.

 

(Foto sebelum digugurkan Mohamad Rafie telah melancarkan bilik gerakan PRN DUN Ampangan)

Related posts

Leave a Comment