ALOR SETAR 30 Julai – Ibarat ‘perlawanan ulangan’, apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Mahfuz Omar bertembung sekali lagi dengan pemain bola sepak legenda Hijau Kuning, Radhi Mat Din.
Jika 2018 mereka bertemu ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di kerusi Parlimen Pokok Sena, dengan Mahfuz menang majoriti 5,558 undi, kali ini kedua-duanya akan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu.
Mahfuz yang juga Naib Presiden Amanah berkata, keadaan ketika ini adalah berbeza kerana pada 2018, PH menjadi pembangkang manakala PN pula kerajaan di peringkat Pusat.
Beliau bagaimanapun berkata, bersama Datuk Zamri Yusuf yang bertanding di DUN Suka Menanti dan Teh Swee Leong di DUN Kota Darulaman, mereka mempunyai keyakinan untuk mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi PH pada PRU14 lalu.
“Keyakinan itu berdasarkan pelbagai inisiatif yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa mengutamakan rakyat dalam pentadbirannya termasuk mereka yang di Kedah.
Atas dasar itu, rakyat kini dapat menilai perubahan yang dibawa PH dan kesannya dapat dilihat apabila harga barang menjadi terkawal dan ekonomi negara terus berkembang,” katanya di Pusat Penamaan Calon Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah di sini, hari ini.
Sementara itu, Radhi menyifatkan pertembungan sekali lagi dengan Mahfuz bukan sebagai misi balas dendam kekalahannya pada 2018.
“Ini adalah pertembungan biasa dalam politik, dahulu kami di Pokok Sena, sekarang di Alor Mengkudu pula dengan suasana juga berbeza kerana terdapat banyak isu yang meresahkan rakyat.
“Kita dapat merasakan gelombang itu ada bersama PN ketika ini dan anak muda dapat memahami realiti politik semasa yang kita bawa khususnya kepada pengundi di DUN Alor Mengkudu,” katanya.
Pertembungan di tiga DUN berkenaan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PH dan PN di setiap kerusi.
Di DUN Suka Menanti, Zamri yang juga penyandang dan Pengerusi PKR Kedah bakal berhadapan calon PN, Dzowahir Ab Ghani, manakala di DUN Kota Darulaman, penyandang kerusi, Teh Swee Leong bakal berdepan lawan PN, Chuah See Seng.
