1.2 juta penjawat awam terima RM300

KUALA LUMPUR 27 Julai –  Sebanyak 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak akan menerima bantuan khas penghargaan RM300,  sementara menunggu proses pelarasan gaji dan elaun penjawat awam selesai diperincikan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan demikian berkata, lebih sejuta pesara juga akan diberikan bantuan khas penghargaan RM200 dalam tempoh dua minggu.

Bantuan pesara itu termasuk  pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

“Sementara kajian gaji dan elaun diperincikan, kerajaan akan menyediakan bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM200 kepada pesara kerajaan.

Saya arahkan Kementerian Kewangan agar dapat meluluskan dan menyalurkan bantuan khas ini dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

“Dengan pemberian permulaan ini, diharap penjawat awam akan terus berusaha gigih untuk menyokong hasrat melaksanakan pembaharuan Ekonomi Madani, memberi perkhidmatan terbaik, sekali gus membantu ruang fiskal kerajaan agar hasrat kerajaan untuk merealisasikan gaji baharu perkhidmatan awam menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di sini, hari ini.

Anwar turut mengumumkan pinjaman menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) akan ditambah baik dengan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus daripada harga rumah bernilai sehingga RM300,000.

Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan mendengar keluh-kesah rakyat berkaitan hasrat memiliki rumah pertama yang tertangguh kerana tidak mampu menyediakan deposit pembelian rumah.

“Jaminan 120 peratus akan membolehkan semua kos pemilikan rumah ditampung menerusi pinjaman, termasuk jumlah pembiayaan pokok, yuran guaman, yuran penilaian dan insurans serta pembelian perabot dan kos ubah suai.

“Sehubungan itu, jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion akan disediakan,” katanya

Related posts

Leave a Comment