Brunei Darussalam rekod obes kedua tertinggi

BANDAR SERI BEGAWAN: Brunei Darussalam (NBD) merekodkan angka penduduk obes kedua tertinggi di Asia Tenggara iaitu 14.1 peratus, dengan purata indeks jisim tubuh (BMI) 27 kilogram meter padu berdasarkan Penilaian Penduduk Dunia 2023.

Bagaimanapun, jumlah itu masih tidak terlalu tinggi jika dibandingkan dengan negara lain di Eropah dan Amerika Utara, selain Malaysia berada di kedudukan tertinggi dengan 15.6 peratus.

Kadar obesiti di Brunei didapati meningkat akibat beberapa faktor seperti perubahan dalam diet dan gaya hidup, selain peningkatan jumlah pekerjaan yang memerlukan individu duduk dengan lama.

Susulan itu, kerajaan Brunei melaksanakan beberapa langkah bagi mengatasi isu berkenaan, antaranya mempromosikan amalan pemakanan sihat dan aktiviti fizikal.

Laporan Penilaian Penduduk Dunia 2023 itu turut menyatakan obesiti menjadi kebimbangan global berikutan jumlah individu yang obes meningkat tiga kali ganda sejak 1975 kepada kira-kira 2.1 bilion, atau 30 peratus daripada penduduk dunia dan ia dijangka terus meningkat.

Analisis Atlas Obesiti Dunia 2023 oleh Persekutuan Obesiti Dunia pula menunjukkan jumlah individu dewasa yang obes di Brunei dijangka meningkat pada purata 4.2 peratus setahun antara 2020 hingga 2035, manakala obesiti dalam kalangan kanak-kanak diunjur meningkat 4.4 peratus setiap tahun bagi tempoh sama.

Jumlah penduduk yang memiliki berat badan berlebihan dan kadar obesiti tinggi juga dijangka memberi kesan pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Brunei sebanyak 2.2 peratus.

Sebelum ini, menurut Kaji Selidik Penyakit Tidak Berjangkit 2016, kadar obesiti dalam kalangan dewasa NBD di antara yang paling tinggi di rantau ini di mana hampir tiga daripada 10 orang dewasa didapati obes,

Sementara itu, Global School-based Health Survey (GSHS) 2019 menunjukkan kadar obesiti dalam kalangan remaja yang berumur 13 hingga 17 tahun adalah 18.1 peratus.

Menteri Kesihatan Brunei Darussalam Dr Mohammad Isham Jaafar dalam perutusan sempena Sambutan Hari Obesiti Sedunia 2023 berkata, saringan kesihatan yang dijalankan oleh Perkhidmatan Kesihatan Sekolah, Kementerian Kesihatan dalam kalangan pelajar-pelajar di seluruh negara juga mendapati kadar obesiti dalam kalangan pelajar Tahun 1, 4 dan 7 dalam tempoh masa 10 tahun kebelakangan adalah antara 17 peratus hingga 19 peratus.

“Jika masalah obesiti ini tidak dibendung dari awal, trend ini akan terus meningkat dan kanak-kanak yang obes akan membesar menjadi dewasa yang obes dengan masalah kesihatan yang berkaitan.” katanya.

 

Related posts

Leave a Comment