SEREMBAN 24 Julai – DAP mengekalkan 10 penyandang di Negeri Sembilan termasuk Setiausaha Agungnya, Anthony Loke yang akan mempertahankan kerusi DUN Chennah, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Hanya seorang muka baharu dicalonkan iaitu Desmond Sian Meow Kong yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang.
Beliau menggantikan Mary Josephine yang pernah menggemparkan DAP apabila mengumumkan keluar parti pada 10 Julai 2020 tetapi kembali semula ke pangkuan DAP pada 20 Julai tahun yang sama.
Mary ketika itu berkata keputusan meninggalkan parti pada 10 Julai itu “menyakitkan” namun lebih “menyakitkan” apabila melalui 10 hari tanpa parti yang diperjuangkan sejak lebih 40 tahun lepas.
Loke melalui Facebooknya memaklumkan, sebelum itu (pagi Ahad 23 Julai) beliau mengadakan pertemuan dengan Mary Josephine di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP.
“Beliau telah menyampaikan hasrat kepada saya untuk memberi laluan kepada muka baharu di DUN Rahang dalam PRN kali ini. Saya merakamkan penghargaan kepada sumbangan dan khidmat beliau selama 10 tahun sejak PRU13,” katanya.
Sementara itu Loke ketika mengumumkan senarai calon di sini malam tadi berkata, mereka yang dicalonkan semula ialah Teo Kok Seong (Bahau), J Arul Kumar (Nilai), Chew Seh Yong (Lobak), Ng Chin Tsai (Temiang), Nicole Tan (Bukit Kepayang).
Yap Yew Weng (Mambau), P Gunasegaran (Seremban Jaya), Choo Ken Hwa (Lukut) dan S Veerapan (Repah).
“Negeri Sembilan merupakan negeri yang kita telah menang atas semangat Pakatan Harapan (PH) pada 2018. Saya anak Negeri Sembilan, membesar di negeri ini, politik bermula di sini, sudah tentu Negeri Sembilan dekat di hati saya.
Di 11 kerusi ini, kita kekalkan 10 status quo, hanya satu kerusi di Rahang (calon baharu). Kebanyakan calon DAP di Negeri Sembilan masih muda dari usia 30-an hingga awal 60-an,” katanya pada Majlis Pengenalan Calon PH, di sini.
Loke berkata, semua calon terbabit perlu mempertahankan kerajaan negeri, sekali gus mengekalkan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Amanah yang menyerahkan satu kerusi disandang parti itu kepada BN, iaitu DUN Lenggeng.
“Saya faham ada yang kecewa tetapi kita sama-sama berkorban. Bukan saja Amanah tetapi DAP juga ada hilang kerusi di Selangor, PKR juga ada serahkan kerusi kepada BN, begitu juga BN… jadi, kita sama-sama ada semangat pengorbanan.
“Kita menunjukkan komitmen semangat berpasukan… kita kena faham kita ada misi dan tugas besar, iaitu pastikan kerajaan ini menang… kita pertahankan kerajaan negeri ini, sekali gus boleh pertahankan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Foto : Anthony Loke ketika mengadakan perjumpaan penyandang ADUN Rahang (Negeri Sembilan), Mary Josephine di Ibupejabat Kebangsaan DAP pada Ahad, 23 Julai.
