PETALING JAYA 21 Julai – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengemukakan Kertas Hitam Muda II sebagai manifestonya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata manifesto itu bersifat sebagai idea, penyelesaian dan cadangan penambahbaikan kepada mana-mana pihak yang bakal menerajui kepimpinan kerajaan negeri.
“Muda perlu realistik, ini adalah idealisme yang kami ingin kongsikan. Untuk MUDA mengambil alih mana-mana negeri memang mustahil kerana kami tidak bertanding 10 peratus pun jumlah kerusi. Jadi, kami ingin menggariskan idea dan cadangan penambahbaikan yang boleh diketengahkan.
“Muda akan ketengahkan (manifesto) ini sebagai solusi kami, jadi jika kami berada dan menjadi suara rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seperti yang saya kata, kami tiada jumlah untuk membentuk kerajaan tetapi kami ada idea serta penambahbaikan yang boleh dicadangkan,” katanya pada Majlis Pelancaran Manifesto MUDA, di sini, semalam.
Beliau berkata, manifesto kali ini mengetengahkan empat perkara utama yang memberi penekanan kepada reformasi institusi pentadbiran pada peringkat negeri, selaras agenda ‘Politik Baru’ dibawa parti itu, iaitu Prorakyat, Telus dan Inklusif; suara lantang anak muda; pendigitalan ekonomi dan perkhidmatan kerajaan; serta pemeliharaan alam sekitar.
Muda setakat ini menamakan 10 orang calon untuk bertanding pada PRN yang ditetapkan pada 12 Ogos nani.
