BN tanding di 108 kerusi DUN

KUALA LUMPUR 21 Julai – Barisan Nasional (BN) menampilkan 63 peratus calon muka baharu untuk bertanding di 108 daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Pengerusinya,  Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata hanya 18 peratus dalam kalangan penyandang dicalonkan semula sementara 20 peratus lagi terdiri daripada mereka yang pernah bertanding, tetapi mahu menawarkan diri mereka semula.

“Ia sebagai bukti kesinambungan muka baharu dan lama, kita juga tidak lupakan calon wanita, di mana cukup ramai calon dalam kalangan itu. Begitu juga pemuda dan bekas pemuda dan puteri,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional Pilihan Raya Negeri ke-15, di sini, malam ini.

Beliau berkata, BN yang diwakili UMNO selepas MCA dan MIC menarik diri turut menampilkan sebanyak 87 peratus calon yang memiliki kelayakan akademik di peringkat pengajian tinggi.

Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hassan akan turut mempertahankan kerusi DUN Rantau.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN menggariskan lima tekad dalam perjuangan pada PRN kali ini iaitu mahu mewujudkan pentadbiran di peringkat negeri yang mengutamakan kestabilan, bukannya yang suka membawa kepada perpecahan.

Beliau berkata, BN juga mahu membentuk kerajaan negeri yang dapat menjamin kesejahteraan bukannya membiarkan rakyat hidup dalam kesempitan dan kesusahan.

“Ketiga, kita mahu membina kerajaan negeri yang berupaya memupuk kerukunan dan memiliki nilai hormat sesama insan bukannya penuh dengan keceluparan dan caci makian.

“Keempat, kita mahu membentuk kerajaan negeri yang berupaya menjamin pertumbuhan bukannya menjadikan Tuhan sebagai alasan atas kemunduran.

“Kelima, kita mahu mewujudkan kerajaan negeri yang mempunyai keserasian, kesalingan serta persamaan dengan kerajaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, PRN harus dijadikan medan untuk menebus kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), November lalu.

Katanya, dalam mencapai kejayaan itu, pihaknya meminta supaya realiti politik masa kini tidak harus dicemari dengan slogan agama dan perkauman yang sempit.

“Kita tidak akan gunakan caci maki, fitnah dalam berkempen atau memburukkan lawan sebaliknya mengenengahkan tawaran terbaik yang boleh dilakukan BN.

Pada PRN kali ini, Kedah menawarkan 36 kerusi DUN manakala Kelantan (45), Terengganu (32), Penang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

Related posts

Leave a Comment