SINGAPURA 21 Julai – Jabatan Pilihan Raya (ELD) mengesahkan sebanyak 2,709,455 pengundi disenarai dalam Daftar Pengundi.
Daftar itu yang diperakui boleh diperiksa awam mulai Jumaat, memeriksa butiran mereka secara elektronik menerusi Khidmat Pengundi, atau Voter Services, di https://www.eld.gov.sg/online.html di laman web ELD atau menerusi aplikasi Singpass.
Warga Singapura boleh memeriksa butiran mereka secara elektronik menerusi Khidmat Pengundi, atau Voter Services, di https://www.eld.gov.sg/online.html di laman web ELD atau menerusi aplikasi Singpass.
Bagi warga yang namanya telah dikeluarkan daripada daftar kerana tidak mengundi di pilihan raya lalu digalak memohon supaya nama mereka disertakan kembali dalam Daftar Pengundi dan layak mengundi di pilihan raya pada masa depan.
Ini boleh dilakukan sebelum Writ Pilihan Raya dikeluarkan.
Bagi Pilihan Raya Presiden 2023, yang perlu diadakan sebelum 13 September – tarikh penggal enam tahun Presiden Halimah berakhir – Writ Pilihan Raya akan dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, untuk memberikan secara rasmi tarikh dan tempat bagi menamakan calon.
ELD tidak dibenarkan menyenaraikan semula nama pengundi dalam Daftar Pengundi dari saat ini sehingga Hari Penamaan Calon, jika pilihan raya tidak ditandingi, atau sehingga selepas Hari Mengundi jika lebih daripada satu calon bertanding bagi pilihan raya.
Dalam pada itu, warga yang berada di luar negara dan tidak dapat memeriksa butiran secara dalam talian boleh berbuat demikian di pejabat Suruhanjaya Tinggi, Kedutaan Negara dan pejabat Konsulat-Jeneral Singapura tertentu yang berkhidmat sebagai pusat pendaftaran di luar negara.
Warga Singapura yang berada di luar negara perlu mendaftar sebagai pengundi luar negara untuk dibolehkan mengundi menerusi pos atau secara fizikal di 10 pusat mengundi di luar negara, seperti di Beijing, Canberra, Dubai, Hong Kong, London, New York, San Francisco, Shanghai, Tokyo dan Washington.
Ini termasuk warga Singapura yang telah mendaftar sebagai pengundi luar negara sebelum 1 Jun 2023 dan ingin terus mengundi di luar negara.
Warga Singapura di luar negara layak mendaftar sebagai pengundi luar negara jika telah menetap di Singapura sekurang-kurangnya 30 hari dalam tempoh tiga tahun sebelum mendaftar sebagai pengundi luar negara.
Sementara itu, tiga bakal calon telah melahirkan hasrat untuk bertanding Pilihan Raya Presiden ini, termasuk bekas ketua pegawai pelaburan Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC), Ng Kok Song.
Dua bakal calon lain ialah mantan Menteri Kanan, Tharman Shanmugaratnam dan usahawan, George Goh, yang mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding pada Jun.
