Pemilihan semula PM Thailand 27 Julai

BANGKOK 20 Julai –  Selepas pencalonan semula pemimpin Parti Move Forward (MFP) Pita Limjaroenrat ditolak, Parlimen Thailand akan bersidang semula pada Khamis 27 Julai untuk mengundi memilih perdana menteri baharu.

Speaker Wan Muhamad Noor Matha berkata parti politik akan mencalonkan calon perdana menteri, dan diikuti perbahasan.

Bagaimanapun Pita tidak boleh dicalonkan semula kerana ia bertentangan dengan Perkara 41 Perlembagaan iaitu seorang calon hanya boleh dicalonkan sekali dalam setiap sidang parlimen.

Wan Muhamad Noor berkata seorang perdana menteri mesti memperoleh 375 undi (daripada 749 anggota) yang diperlukan dalam persidangan bersama.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 Mei, MFP memenangi 151 kerusi dan memperoleh lebih 14.2 juta undi dan mengetuai gabungan lapan parti yang menguasai 312 daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat.

Pheu Thai memenangi 141 kerusi dan merupakan parti kedua terbesar dalam gabungan itu.

Bagaimanapun, Pita sebagai calon tunggal perdana menteri sekadar meraih 324 undi, manakala 182 undi menentang dan 199 berkecuali dalam pengundian pusingan pertama pada 13 Julai lalu.

Seramai 705 orang ahli yang hadir pada persidangan itu. Hanya 13 daripada 249 senator (seorang meletak jawatan) menyokong Pita dengan selebihnya mengundi menentangnya atau berkecuali.

Pada 16 Julai, usaha Pita untuk menjadi perdana menteri berkubur, selepas Mahkamah Perlembagaan mengeluarkan perintah beliau digantung daripada parlimen.

Mahkamah akan memutuskan sama ada beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen kerana bertanding dalam pilihan raya sedangkan memiliki saham dalam syarikat media yang sudah tidak beroperasi.

Undang-undang pilihan raya Thailand melarang mereka yang memiliki saham dalam syarikat media daripada bertanding dalam pilihan raya.

Pita didakwa tidak layak bertanding kerana memegang saham dalam sebuah syarikat media ketika mendaftar sebagi calon.

Selepas bidaan Pita gagal, gabungan lapan parti pimpinan MFP dijangka mencalonkan Srettha Thavisin dari parti Pheu Thai, seorang hartawan hartanah dan muka baharu dalam arena politik Thailand.

Related posts

Leave a Comment