KUALA LUMPUR 20 Julai – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yasin akan meneruskan tindakan saman terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.
Beliau berkata, tindakan itu diteruskan selepas Anwar gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka dalam tempoh 24 jam seperti terkandung dalam surat tuntutan peguam yang dihantarnya sebelum ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu memaklumkan beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk meneruskan tindakan saman fitnah ke atas Anwar.
Ahli Parlimen Pagoh itu dalam satu kenyataan malam ini menegaskan, Anwar gagal mendedahkan dokumen seperti dimintanya kelmarin, berkenaan isu pelupusan hutang peneroka Felda.
“Dokumen yang dia (Anwar) kemukakan bukan berkenaan pelupusan hutang peneroka Felda. Dokumen itu berkenaan sukuk.
“Saya pun pernah berkali-kali menjelaskan sebelum ini bahawa dokumen yang Anwar tanda tangan itu adalah berkenaan sukuk bukan pelupusan hutang peneroka Felda.
Pendedahan dokumen itu membuktikan saya bercakap benar. Yang berbohong dan fitnah saya ialah Anwar,” katanya.
Muhyiddin turut merujuk siaran media Kementerian Kewangan yang dikeluarkan hari ini yang mengesahkan berkenaan jaminan kerajaan sebanyak RM9.9 bilion dan bukan pelupusan hutang peneroka Felda sebanyak RM8.3 bilion yang sudah pun diselesaikan beliau pada 2021.
“Dokumen sukuk yang didedahkan juga menunjukkan Anwar tidak memahami kandungan dokumen yang dia tanda tangan sebagai Menteri Kewangan.
“Ini bahaya. Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang dia tandatangan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dia tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya.
“Jelas Anwar tidak layak (incompetent) untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Lagi lama Malaysia ditadbir oleh kerajaan diterajui Anwar, lagi besar mudaratnya kepada rakyat,” katanya.
Kelmarin, Muhyiddin mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Anwar berhubung kenyataan mengenai pelupusan hutang peneroka Felda, selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Perdana Menteri.
Susulan itu, Anwar pagi tadi mendedahkan sebahagian dokumen yang membuktikan beliau sudah menandatangani dokumen berkaitan Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA) serta penerbitan sukuk berjumlah RM990 juta sebagai jaminan kerajaan terhadap Felda.
Anwar sebelum ini juga berkata, beliau tidak lupa dan masih ingat dokumen berjumlah RM997 juta yang ditandatanganinya pada 27 Jun lalu.
