PH-BN mampu tempa keputusan luar biasa

PERMATANG PAUH 17 Julai – Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu menempa sejarah dengan keputusan luar biasa di Pulau Pinang kerana masing-masing mempunyai kekuatan akar umbi yang sangat kuat.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, sekiranya PH-BN berpadu, gabungan itu juga mampu menghasilkan kemenangan bergaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.

Katanya, satu strategi ampuh perlu dirangka oleh kedua-dua gergasi politik itu bagi mengumpul kekuatan akar umbi parti masing-masing manakala seluruh tenaga jentera perlu dikerah dalam memenangkan calon-calon PH dan BN yang bertanding.

Katanya, pada masa sama, untuk kedua-dua parti politik gergasi tanah air itu meraih kemenangan ialah dengan mengerah kerjasama seluruh jentera parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ini pesan saya, UMNO ada pangkalan di kampung-kampung, DAP ada pangkalan di bandar, PKR campur-campur sikit. Kalau PH dan BN ini ada strategi yang ampuh, kumpul kekuatan akar umbi dia untuk masa depan.

“Tiada siapa yang mampu menggoyahkan kedudukan kita, percayalah, tiada siapa yang boleh goyangkan kita,” katanya yang juga Pengerusi PH ketika berucap pada himpunan Jelajah Perpaduan MADANI dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini malam tadi.

Hadir sama Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung PKR,  Saifuddin Nasution Ismail; Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta pemimpin kanan BN dan PH.

Presiden PKR itu berkata buat julung kalinya, PH yang sebelum ini memerintah dan BN sebagai pembangkang kuat di Pulau Pinang, kini bergabung bersandarkan prinsip menyelamatkan negara dan menjaga tata kelola baharu Malaysia.

“Kalau kita lihat perkiraan biasa, (melalui) gabungan dua gergasi ini saya percaya kita akan tempa keputusan luar biasa di Pulau Pinang,” katanya.

Anwar juga menegaskan jika gabungan itu menang Kon Yeow akan kekal sebagai Ketua Menteri selepas menunjukkan rekod pentadbiran yang baik selama ini.

Related posts

Leave a Comment