DAP: Jentera UMNO diminta ‘tutup buku lama’

PERMATANG PAUH 17 Julai – Tutup buku lama, buka buku baharu. Begitu pesanan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada jentera BN dalam menghadapi pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini.

Presiden UMNO itu mahu jentera BN mengetepikan persengketaan dengan rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan terutama mereka yang alah dengan lambang DAP iaitu roket bagi memastikan kemenangan gabungan itu.

Katanya, kemenangan PRN akan memperkukuhkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Sekarang mereka rakan kita dan kita rakan mereka, dulu saya alergi tengok roket dan dulu juga lawan tetap lawan tetapi sekarang buat apa kita terus berlawan yang masa ini kita perkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Oleh itu, jentera UMNO, BN diminta ketepikan persengketaan dengan tutup buku lama dan buka buku baharu.

Saya ingin berterima kasih kepada jentera UMNO Pulau Pinang yang mengatakan di mana sahaja calon Pakatan Harapan (PH) bertanding di situ jentera UMNO akan membantu,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini, malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN mahu turut membantu kerajaan Pulau Pinang apabila menang pada PRN nanti.

Katanya, selama 15 tahun BN tidak bersama kerajaan Pulau Pinang tetapi kemajuan pembangunan perindustrian berteknologi tinggi amat dikagumi selain Selangor.

“Asas kemajuan (Pulau Pinang) asal BN suatu ketika dahulu tetapi hakikatnya selepas 15 tahun Pinang semakin maju.

“Jadi, BN mahu turut membantu melalui menteri dari UMNO supaya dapat tarik pelabur ke Pulau Pinang termasuk mendukung Perdana Menteri yang kita mahu noktahkan kemiskinan tegar menerusi Kementerian Desa dan Wilayah,” katanya

Related posts

Leave a Comment