Pita undur jika gagal kali kedua

BANGKOK: Calon Perdana Menteri Thailand, Pita Limjaroenrat bersedia mengundurkan diri dan membenarkan rakan sekutunya, Parti Pheu Thai membentuk kerajaan, jika beliau sekali lagi gagal mendapat sokongan yang mencukupi dalam undian pusingan kedua minggu depan.

Melalui sebuah mesej video di media sosial semalam, Pita berkata, akan memperbaharui pencalonannya apabila Parlimen bersidang semula pada Rabu untuk undian kedua.

Beliau berkata, Parti Move Forward (MFP) yang memperoleh kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Umum pada 14 Mei mempunyai tanggungjawab untuk membentuk kerajaan, namun usaha berkenaaan tidak berjaya.

“Saya akan berjuang sehingga akhir tetapi jika jelas MFP gagal, saya akan membiarkan Parti Pheu Thai yang mempunyai kerusi kedua terbanyak untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Dalam sidang kedua pada Rabu depan, MFP juga sedang berusaha meluluskan rang undang-undang untuk mengugurkan kuasa Senat dalam pengundian jawatan perdana menteri.

Sementara itu, Pita menggesa penyokong parti untuk membantu meyakinkan ahli-ahli Senat bagi menyokongnya dalam pusingan akan datang.

“Saya tidak dapat mengubah fikiran mereka (ahli-ahli Senat). Saya meminta semua orang menyertai misi ini,” katanya.

Khamis lalu, Pita calon tunggal untuk jawatan itu gagal memperoleh sokongan lebih separuh atau 375 undi daripada 749 Ahli Parlimen. Beliau hanya mendapat 324 undi, manakala 199 berkecuali dan 44 Ahli Parlimen tidak hadir pada persidangan itu.

Related posts

Leave a Comment