Tiga dicari kes hina raja

BERANI buat beranilah berdepan dengan polis. Tidak perlu dijemput, serah diri di mana-mana balai polis. Setakat tengah hari ini, 27 Oktober 2020, polis menahan seorang pemilik akaun Twitter. Tiga lagi pemilik akaun laman sosial sedang dikesan.

Mereka didakwa memuat naik kenyataan berunsur penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu dan berbaur hasutan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, seorang pemilik akaun Twitter berusia 52 tahun ditahan dalam satu serbuan di kawasan Cheras pada Isnin, 26 Oktober.

Turut dirampas perkakasan yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kenyataan yang tular itu.

Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan.

“Manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana pengunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Sementara itu, tiga lagi kertas siasatan dibuka berhubung kenyataan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama “Ronnie Liu Tian Khiew” dan “Ho Ruey Terng”, serta pemilik akaun Twitter “Uncle Ireeve”.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan. Manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana pengunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Kesemua pemilik Facebook dan Twitter yang dikenal pasti diminta tampil untuk menyerah diri di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman. Sekiranya ingkar, PDRM akan mengesan dan menangkap mereka yang terlibat,” tegasnya.

Related posts

Leave a Comment