SUNGAI PETANI 15 Julai – Senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada enam pilihan raya negeri 12 Ogos ini akan diumumkan pada 21 Julai, kata Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Presiden UMNO mengesahkan sudah menerima semua senarai calon yang akan mewakili BN di enam negeri yang bakal mengadakan PRN iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.
Katanya, senarai calon akan dimuktamadkan dalam masa terdekat sebelum diumumkan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala lumpur.
“Ia (senarai calon ini) dikemukakan oleh pengerusi perhubungan di enam negeri. Mereka mengemukakan tiga nama bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita tandingi.
“Kita akan muktamadkan, hari pengumuman (calon) dan watikah kepada calon itu akan kita adakan pada malam 21 Julai di PWTC,” katanya selepas melancarkan jentera BN dan UMNO di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (Mara) Merbok di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, gerak kerja jentera UMNO untuk pilihan raya kali ini akan dimulakan di semua peringkat DUN.
“Saya memberi pengarahan untuk kita bergerak bagi semua peringkat. Kita membuat keputusan mulai di peringkat lokaliti (cawangan), terus di DUN dan peringkat bahagian. Ini satu pengarahan baharu yang saya turunkan ke bawah,” katanya.
