PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) akan membuat penilaian terhadap kesan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang memilih bertanding secara solo ketika perbincangan permohonan parti itu untuk menyertai gabungan Kerajaan Perpaduan.
Naib Presiden PKR, Amirudin Shari, berkata tindakan Muda berhubung PRN itu menunjukkan parti itu seperti menjarakkan diri daripada PH.
“Saya tidak terbabit dalam membuat keputusan berkaitan permohonan Muda untuk menyertai kita kerana kuasa itu terletak di bawah Majlis Presiden PH. Bagaimanapun, kita akan melihat kesan dan akibatnya (bertanding secara solo).
Nampaknya Muda secara tidak langsung menjauhkan diri daripada kita,” katanya selepas menghadiri Konvensyen Suara Anak Muda #IniMasaKami oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), di sini hari ini.
Sebelum ini, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan partinya akan bertanding secara solo dalam PRN di enam negeri.
Pengumuman itu menunjukkan parti berkenaan akan bertembung dengan calon PH atau Barisan Nasional (BN) walaupun menjadi sebahagian daripada blok kerajaan di Dewan Rakyat.
Muda sebelum ini memohon menyertai PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan November, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas berkaitan hal itu.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Muda, Luqman Long berkata, parti itu dan PH masih belum memulakan sebarang rundingan kerusi PRN akan datang.
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil pula berkata pakatan berkenaan akan memuktamadkan rundingan kerusi dengan BN terlebih dulu sebelum berbincang dengan Muda.
Bagaimanapun pada Khamis lalu Muda mengumumkan empat calon untuk PRN di Selangor dan menyasarkan untuk bertanding kurang daripada 10 peratus daripada jumlah kerusi dalam pilihan raya terbabit.
Empat calon yang akan bertanding dalam PRN Selangor ialah Setiausaha Agung Muda, Amir Hadi yang dipilih sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N29 Seri Serdang.
Selain itu, Cheda Razak di N41 Batu Tiga, Thanusha Ramanieswaran (N48 Sentosa) dan Melanie Ting (N19 Bukit Antarabangsa).
Syed Saddiq berkata, empat calon tersebut merupakan antara kategori kumpulan pertama yang dipilih untuk mewakili Muda dalam PRN Selangor dan pihaknya dijangka muktamadkan senarai semua calon PRN itu pada minggu depan.
