NUTP, Andalusia meterai kerjasama pakej umrah

KUALA LUMPUR 15 Julai –  Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dengan kerjasama Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menawarkan pakej umrah khas kepada 258 orang ahli kesatuan serta keluarga mereka.

Pakej Penerbangan Umrah Khas Guru itu yang menawarkan diskaun sebanyak RM238 akan berlangsung pada musim cuti sekolah hujung tahun iaitu pada 17 hingga 27 Disember 2023 melibatkan 12 hari 10 malam.

Bagi menjayakan kerjasama itu satu kolaborasi dimeterai pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Andalusia dan NUTP Malaysia, di Hotel Tamu, di sini, hari ini.

NUTP diwakili oleh Presidennya, Aminuddin Awang manakala Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris mewakili Andalusia.

Aminuddin berkata, NUTP bukan sahaja memberi perlindungan dan menjaga kebajikan guru semata-mata, tetapi juga komited untuk menyediakan lebih banyak manfaat untuk ahli.

“Kerjasama ini selari dengan matlamat NUTP untuk memberi nilai tambah kepada 230,000 ahli di seluruh Malaysia, terutamanya kepada para guru beragama Islam yang ingin menunaikan umrah.

Katanya, kerjasama ini bukan hanya melibatkan pakej umrah tetapi ahli NUTP juga berpeluang untuk melancong ke luar atau dalam negara dengan harga istimewa melalui pakej-pakej lain yang disediakan oleh pihak Andalusia.

Sementara itu, Ida Riswana berkata, kerjasama itu membolehkan pihak Andalusia menyantuni para guru di samping menyediakan pakej umrah mampu milik dengan perkhidmatan yang lengkap.

“Setiap tahun, semasa cuti sekolah, pihak kami menerima tempahan yang berlipat kali ganda berbanding biasa.

“Oleh itu, banyak tempahan oleh para guru tidak dapat dipenuhi kerana diisi dengan jemaah lain yang mengambil kesempatan untuk mengerjakan umrah pada waktu sama,” katanya.

Tambah Ida, usaha sama tersebut merupakan bukti pihaknya sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan guru, khasnya ahli NUTP.

Katanya, pihak Andalusia juga melihat kolaborasi ini sebagai permulaan untuk lebih banyak lagi kerjasama lain bersama NUTP pada masa akan datang, termasuk ibadah haji.

Related posts

Leave a Comment