Hentikan sangkaan buruk – Raghad Kurdi

KUCHING 6 Feb. – Isteri kepada bekas Yang Dipertua Sarawak,  Raghad Kurdi Taib, merayu kepada semua pihak terutamanya rakyat Sarawak agar dapat menghentikan tuduhan dan sangkaan buruk terhadap dirinya.

Raghad berkata, beliau menyedari berita mengenai insiden suaminya, Abdul Taib Mahmud, dibawa keluar dari sebuah hospital pakar yang tersebar sejak beberapa hari lalu.

“Sejak beberapa hari lalu, tersebar imej dan berita portal dalam media sosial yang mencemarkan imej dan nama baik saya sebagai isteri kepada bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Satu-satunya kebimbangan saya pada masa ini ialah kesejahteraan suami saya, Tun Taib.

Saya dengan rendah hati memohon tolong hentikan semua andaian dan tuduhan jahat ini kerana keutamaan saya hanya untuk menjaga suami pada ketika ini,” katanya menerusi surat kepada media di sini, awal pagi tadi.

Raghad turut merayu agar semua pihak tidak percaya terhadap sebarang khabar angin bahawa beliau akan melarikan diri.

“Walaupun saya adalah warga asing, tetapi sekarang saya rakyat Malaysia dan akan sentiasa menjadi rakyat Malaysia.

“Saya tidak akan meninggalkan negara ini dan akan meneruskan kerja-kerja amal saya kepada rakyat Sarawak selepas Tun Taib kembali sihat,” katanya.

Sementara itu, adik bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak ity, Mohamnad Tufail Mahmud, mahu Raghad bertanggungjawab penuh jika sesuatu berlaku ke atas Abdul Taib.

Mohammad Tufail menerusi laporan polis yang dibuatnya yang tular di media sosial sejak semalam, mendakwa mereka seisi keluarga, termasuk empat anak Abdul Taib tidak mengetahui keadaan sebenarnya tokoh berusia 87 tahun itu.

Beliau mendakwa, Abdul Taib dikeluarkan dari dari unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta, tengah malam Sabtu lalu.

Dakwanya, Abdul Taib dibawa keluar daripada hospital dengan mengabaikan nasihat kakitangan ICU, selain tidak dirundingkan dengan ahli keluarga.

Ketika ini, tiada adik-beradik mahupun anak kandung abang saya (Abdul Taib) yang tahu kedudukan serta keadaan kesihatannya sekarang.

Related posts

Leave a Comment