DAP sokong Aminuddin MB Negeri Sembilan

SEREMBAN 15 Julai – DAP Negeri Sembilan menyokong Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun dikekalkan sebagai Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan (PH) terus diberikan mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata,  Aminuddin yang juga Pengerusi PH negeri telah membuktikan kemampuannya memimpin kerajaan negeri dengan baik.

“Kita sokong Aminuddin kerana beliau telah buktikan beliau seorang Menteri Besar yang bukan sahaja taat kepada perjuangan, kasih dan prihatin kepada rakyat, negeri, malah adil kepada semua tanpa mengira kaum dan agama,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persediaan PRN DAP negeri, di sini, semalam.

Beliau berkata semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH juga telah memberikan komitmen yang baik termasuk menjaga kebajikan masyarakat tanpa mengira kaum dan PH akan meneruskannya sekiranya terus diberikan mandat.

Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban, berkata masyarakat perlu untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang sentiasa menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata semua pihak juga perlu memastikan kestabilan kerajaan pada masa ini sekali gus memastikan pelaburan akan terus masuk ke negara ini sekiranya mempunyai kerajaan yang kuat.

Sementara itu, Aminuddin menyatakan rasa terima kasihnya atas sokongan dan cadangan DAP Negeri Sembilan supaya beliau dikekalkan sebagai Menteri Besar sekiranya diberikan mandat selepas PRN.

“Terima kasih DAP atas pendirian yang tidak berubah sejak awal. Bagaimanapun, pucuk pimpinan yang akan menentukannya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment