KUALA LUMPUR 14 Julai – Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP memutuskan Chow Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua jika Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diberi mandat 12 Ogos ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang juga Pengerusi Jawatankuasa itu, berkata, keputusan itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan sebagai Pengerusi PH, beliau merestui keputusan tersebut.
Loke bagaimanapun berkata, jawatankuasa itu yang merupakan kepemimpinan tertinggi DAP juga memutuskan untuk membuat pembaharuan besar (major renewal) dalam barisan Exco Kerajaan Negeri yang mewakili DAP sekiranya diberi mandat.
“Proses pembaharuan ini untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan kepemimpinan DAP yang lebih muda, dinamik dan berupaya untuk menerajui dan memimpin Pulau Pinang ke arah yang lebih maju dalam semua bidang demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu.
Jawatankuasa itu turut dianggotai Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng, Timbalan Pengerusi Gobind Singh serta dua Naib Pengerusi iaitu Nga Kor Ming dan M. Kulasegaran.
Sebelum ini, terdapat spekulasi sekurang-kurangnya lima nama termasuk Kon Yeow disebut sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang, jika gabungan PH dan BN berjaya mempertahankan negeri terbabit pada PRN 12 Ogos ini.
Mereka yang disebut-sebut ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang juga Timbalan Menteri Kewangan II; Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo; Exco Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo serta Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Sementara itu Loke juga memaklumkan senarai penuh calon yang akan mewakili DAP dalam PRN kali ini akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Calon yang seterusnya pada minggu hadapan.
“Semua calon DAP akan diumumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum Hari Penamaan Calon,” katanya.
