KUALA LUMPUR 12 Julai – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa orang bukan Islam paling ramai ditangkap atas kesalahan memberi dan menerima rasuah.
“Saya pegang (pendirian) sama macam Tok Guru (Abdul Hadi Awang) selagi saya benar, saya cakap. Pergi tengok rekod orang ditangkap atas kesalahan memberi dan menerima, ramai (orang) bukan Islam. Itu fakta dan benar.
“Sebab pada ketika kenyataan itu dikeluarkan, DAP memainkan (dakwaan) pemimpin Melayu ini rasuah. Semua ini pemimpin Melayu tak boleh dipercayai.
“(Mereka kata) Lebih baik orang bukan Islam baik daripada pemimpin Islam yang tak baik kerana mengamalkan rasuah. Tetapi bila tengok fakta, banyak ditangkap adalah orang bukan Islam,” katanya pada program bual bicara Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan yang disiarkan secara dalam talian malam tadi.
Beliau mendakwa apa yang dikatakan itu benar dan fakta bagi menjelaskan mengapa Presiden Pas, Abdul Hadi mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera punca gejala rasuah di Malaysia.
Muhammad Sanusi menuding jari kepada DAP yang mula memainkan naratif bahawa pemimpin Melayu terbabit rasuah.
Ditanya strategi PN untuk memenangi pengundi bukan Melayu, Muhammad Sanusi selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya berkata, gabungan itu mengetengahkan politik yang harmoni.
Beliau percaya dengan membariskan calon orang Melayu dan Islam yang baik, cenderung membolehkan masyarakat bukan Melayu mengundi calon berkenaan.
“PN masih membawa politik yang harmoni. Saya rasa kalau undi Malaysia, kalau kita tidak terpengaruh dengan politik ekstrem, menakut-nakutkan orang bukan Islam kepada Islam dan kepada tokoh Islam yang dipaparkan sebagai ekstrem. Orang Cina dan India boleh sokong PN, tidak ada masalah.
“Itu latar belakang politik Malaysia. Tetapi kalau calon Melayu kena pergi cari undi Melayu. Kalau nak menang undi Cina, kena pergi cari calon Cina. Itu pembahagian politik berasaskan kaum di Malaysia yang kita tak boleh elak. Tetapi mereka tak bagi pula kita cakap (pasal kaum).
“Saya rasa orang lebih percaya kepada orang Melayu Islam yang baik, yang tidak menimbulkan apa-apa kontroversi. Tidak zalim. Kita tawarkan benda begitu,” katanya.
Beliau menjelaskan, tiada istilah abang besar dalam PN dan layanan terhadap parti komponen yang menganggotai gabungan itu ialah sama rata.
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi sempat berseloroh jika diikutkan usia Pas yang mencecah 51 tahun, sudah semestinya layak digelar abang.
“Saya rasa yang tualah abang iaitu Pas berusia 51 tahun. Bersatu berpecah dengan UMNO, jadi dia adiklah. Kalau soalannya bermaksud macam itu.
Tetapi dalam PN ini, kita adalah ‘equal partner’ (rakan kongsi sama rata). Tidak ada abang, tidak ada adik,” katanya.
