KUALA LUMPUR 12 Julai – Komitmen parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan makin bertambah bagi memastikan keutuhan gabungan itu sehingga tamat tempoh lima tahun pemerintahannya, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri, berkata semua parti akan memainkan peranan masing-masing untuk menjamin kestabilan supaya dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, pimpinan parti akan perkukuhkan Kerajaan Perpaduan sekarang dan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak melayan sebarang usaha untuk menggugat kedudukan pentadbiran.
“Saya sangat terharu dan bangga dengan kenyataan daripada pimpinan yang menyatakan kesediaan mereka untuk terus memperkukuh dan mengelak desas-desus daripada golongan terdesak. Yang menggunakan sentimen perkauman sempit atau agama yang melulu, jumud dan kemudian memberikan gambaran seolah-olah ada perubahan.
Apa yang disebut di sini mewakili majoriti besar Ahli Parlimen. Tetap dengan pengukuhan Kerajaan Perpaduan sehingga lima tahun selesai kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn di sini, malam tadi.
Turut hadir ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor; Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Fadillah Yusof; Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong; Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Tiong King Sing dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Pandikar Amin Mulia.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, semua parti termasuk daripada Sabah dan Sarawak komited untuk membantu jentera PRN, bukan hanya ketika hari penamaan calon tetapi juga ketika berkempen.
“Mereka komited untuk membantu calon yang akan bertanding atas asas penyatuan yang kukuh dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Abang Johari pula berkata, Sarawak akan memastikan Kerajaan Perpaduan kukuh dan memberi jaminan tiada peralihan kuasa melalui pertukaran kerajaan yang tidak berlandaskan demokrasi.
“Sebab itu kita di Sarawak, komited dan akan pertahankan perpaduan di peringkat nasional supaya Kerajaan Perpaduan akan melaksanakan tanggungjawab seperti yang dikehendaki rakyat,” katanya.
Hajiji pula berkata, Sabah akan terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan pimpinan Anwar dan membantu jentera PRN.
