“Itu rumah Budin, bukan rumah saya”

SEPANG 11 Julai – “Rumah itu bukan milik saya,” Itu penjelasan Muhammad Sanusi Md Nor berikutan tular di media sosial gambar rumah banglo di Sik yang dikaitkan dengan Menteri Besar Kedah itu.

Muhammad Sanusi menjelaskan rumah itu adalah milik abangnya, Budin yang bukan orang politik dan tidak ada kena mengena dengan politik atau pilihan raya.

Sambil menyifatkan ia fitnah sehingga timbul tanggapan banglo itu miliknya, Muhammad Sanusi berkata, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), pemfitnah bekerja keras untuk mempengaruhi orang ramai bahawa beliau kini hidup kaya raya.

“Tidak ada wang saya diguna untuk bina rumah itu walau satu sen. Ia milik orang lain yang dibina hasil titik peluhnya sendiri setelah bekerja keras selama puluhan tahun.

“Selama ini, dia kumpul wang bekerja sebagai penyelam di dasar laut, terpaksa tinggalkan isteri dan anak-anak hingga tiga atau empat bulan sekali baru boleh balik ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan melalui Harakahdaily.

Beliau berkata, bukan sekali dua tetapi banyak kali ketika isteri abangnya bertarung nyawa melahirkan anak, si suami sedang bertarung dengan yu dan jerung di dasar laut.

“Mereka suami isteri, termasuk anak-anak telah banyak berkorban selama ini. Amat menyedihkan tatkala sampai masa untuk mereka mengecap sedikit kegembiraan dapat masuk rumah yang baru siap, ada pula orang yang dengki dan sakit hati hingga tergamak menjaja fitnah konon rumah itu bukan milik mereka.

“Apa salah mereka kepada kalian? Kumpul duit setelah berpuluh tahun kerja mempertaruhkan nyawa dalam keadaan begitu bahaya untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada ahli keluarga, adakah salah?,” katanya.

Muhammad Sanusi mempersoalkan mengapa menjadikan orang yang tiada kena mengena dengan politik sebagai mangsa seolah-olah rumah itu dibina dengan duit haram sedangkan dia telah lama bekerja keras mencari rezeki hasil titik peluhnya.

“Apa salah dia kepada kalian hingga tidak berkira kira langsung menyebar fitnah sedangkan kalian tidak kenal pun siapa pemilik rumah itu?

“Adakah salah juga dia ada pertalian darah dengan saya, dilahirkan sebagai abang saya? Adakah kerana dia abang saya, dia tidak boleh bina rumah besar walaupun dia ada duit dan mampu untuk bina rumah seperti itu?

Mudah sungguh kalian buat dosa-dosa berat pula – sedangkan antara kalian ada yang tidak pernah lalu malah tidak tahu pun rumah itu di mana,” katanya lagi.

Beliau berkata, orang Sik rata-ratanya tahu rumah itu rumah Budin, bukan Sanusi dan sebagai adik, beliau tahu abangnya sudah lama bekerja keras untuk membahagiakan keluarganya.

Katanya, Budin seorang yang berhati cekal, kuat bekerja, berdisiplin dan mempunyai kesanggupan yang sangat tinggi untuk meningkatkan taraf hidup serta bijak menguruskan wang dan membeli harta.

Muhammad Sanusi berkata, beliau sendiri kagum dengan pengorbanan dan kesanggupan abangnya yang menguruskan hidup dengan disiplin dan kualiti yang tinggi.

“Beliau jauh meninggalkan macai-macai politik yang hati mereka sentiasa diselubungi dendam, marah dan benci. Mereka dengan mudah menyebar fitnah untuk mendapat sedikit habuan atau memuaskan dendam kesumat yang lama terpendam.

Mereka seperti lalat penghurung tahi yang kotor lagi jijik. Bersiap sedialah kalian semua untuk menjawab di dunia dan akhirat atas dosa yang telah disebarkan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment