DAP kekal terajui Pulau Pinang

KUALA LUMPUR 11 Julai – DAP akan terus menerajui Pulau Pinang sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata sudah ada persefahaman antara PH dan Barisan Nasional (BN) bahawa DAP akan menerajui kerajaan negeri.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada keputusan dibuat mengenai siapa calon Ketua Menteri Pulau Pinang.

Katanya, ketika ini partinya sedang menyusun strategi dan calon untuk PRN nanti dan akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi untuk membincangkan lebih lanjut mengenai perkara ini.

“DAP sentiasa jelas dengan mesej yang ingin disampaikan dan akan berdepan dengan PRN sebagai satu kumpulan,” katanya selepas forum bertajuk ‘Kestabilan Politik dalam Parlimen Tergantung’, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng untuk berterus terang mengenai calon ketua menteri bagi menentukan masa depan pembangunan negeri itu.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan pula menyatakan terdapat khabar angin bahawa Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berhasrat menjadi ketua menteri yang baharu tetapi dinafikan Loke.

Sementara itu, Loke dalam hantaran di Facebooknya memaklumkan mengadakan perbincangan dengan Kon Yeow berkenaan persiapan dan strategi menghadapi PRN.

Tanpa menyebut bila dan di mana pertemuan itu, Loke berkata, kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pentadbiran Kon Yeow selama lima tahun yang lalu telah menunjukkan prestasi yang baik dalam pelbagai indikator ekonomi.

“Kami berdua membincang beberapa strategi dan pendekatan baharu untuk terus membina kekuatan tersebut demi kemajuan Pulau Pinang untuk lima tahun yang akan datang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment