Polis siasat Guan Eng isu musnah tokong

KUALA LUMPUR 9 Julai – Polis Bukit Aman hari ini mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R ( agama, raja dan kaum).

Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk G S Suresh Kumar, berkata siasatan dijalankan selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima beberapa laporan polis berkait perkara itu.

Beliau berkata, laporan polis yang diterima itu berkaitan kenyataan Guan Eng yang dipercayai menyentuh isu 3R dengan mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

“Kenyataan itu dipercayai diucapkan beliau semasa berucap dalam program ‘Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore – Malaysia Tour 2023’ di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang pada 7 Julai lalu.

Pada 8 Julai lalu (semalam), Portal Berita Malaysianow turut menyiarkan artikel berhubung kenyataan Pengerusi DAP itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kini memulakan siasatan terhadap Guan Eng berhubung isu berkenaan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan masih dijalankan, justeru orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.

Menurut Suresh Kumar, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Baru-baru ini sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

Bagaimanapun, Guan Eng menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian, sebaliknya menegaskan ucapannya pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang itu diputar belit, seolah-olah ada pihak ingin merobohkan tokong Buddha atau Cina.

“Ini tidak benar. Saya merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu dirobohkan pada Julai 2020 di Kedah. Saya amat kesal ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja memutarbelitkan ucapan saya dan menggambarkan seolah-olah saya membakar sentimen perkauman agama dan kaum,” kata Guan Eng.

Related posts

Leave a Comment