SEREMBAN 9 Julai – Bekas Timbalan Ketua UMNO bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz dan mantan Ahli Dewan Negara, Ras Adiba Radzi kini sah menganggotai Bersatu selepas mereka menerima watikah keahlian malam ini.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menyerahkan watikah itu pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di sini.
Pada majlis sama Muhyiddin yang juga Pengerusi PN turut menerima borang keahlian daripada mantan Ketua Wanita PKR Negeri Sembilan, Azlimah Zamli dan mantan Ketua Cabang PKR Jelebu, Yus Mazmu Ahmad Yusof.
Penyerahan itu turut disaksikan Naib Presiden Pas Idris Ahmad, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan dan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Ahmad Faizal Azumu.
Tun Faisal yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa, berkata beliau memilih menyertai Bersatu selepas mengambil kira peranan yang boleh dimainkannya dalam parti itu berbanding Pas.
“Saya ialah orang yang percaya kepada jemaah atau bekerja dalam organisasi, jadi saya perlu berada dalam satu-satu organisasi untuk membantu perjuangan yang saya percaya.
“Sebenarnya bagi saya, Pas atau Bersatu, sama saja kerana kedua-duanya berada di bawah PN. Bagaimanapun, melihat kepada aspek di Putrajaya, tempat yang saya sudah biasa, Ahli Parlimennya ialah daripada Bersatu (Dr Radzi Jidin).
“Jadi, saya percaya boleh memainkan lebih banyak peranan dalam Bersatu berbanding Pas, terutama dalam memberikan input berkaitan isu tempatan dan pada masa sama, memperkukuh Bersatu di kawasan ini,” katanya seperti dilapor BH.
Sementara itu, Ras Adiba sebelum ini dilantik sebagai Senator bagi mewakili golongan kurang upaya pada Mei 2020, ketika pemerintahan Muhyiddin dan wanita pertama dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Ras Adiba yang juga bekas ahli UMNO berkata, beliau memilih menyertai Bersatu untuk menyokong perjuangan gabungan PN dalam membela nasib rakyat termasuk golongan OKU.
“Saya sudah memikirkan beberapa minggu untuk menyertai Bersatu, walaupun sebelum ini ramai kalangan sahabat handai yang mempelawa untuk menyertai Bersatu.
“Selepas mengamati keadaan politik di negara kita, saya dengan kepemimpinan di bawah Tan Sri Muhyiddin, akan memberikan sokongan penuh sebagai anak Negeri Sembilan untuk berjuang bersama Bersatu dalam PN,” katanya.
Beliau ingin membantu Bersatu dan PN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan dalam memastikan PN dapat mengambil alih pemerintahan di Negeri Sembilan.
