KULAI 9 Julai – Dua pengendali media sosial di bawah Meta iaitu Facebook dan Instagram merekodkan kerugian akibat penipuan dalam talian yang menggunakan platform terbabit sehingga RM302 juta dalam tempoh tiga tahun setakat Jun lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Teo Nie Ching berkata, kerugian direkodkan disebabkan penipuan yang menggunapakai platform Facebook ialah RM230 juta, manakala Instagram ialah RM70 juta.
Katanya, kementerian telah mengadakan pertemuan dengan Meta (Facebook dan Instagram) dan mahu membuktikan bahawa masalah penipuan ini yang menggunapakai platform mereka memang isu yang serius.
“Jadi kami perlu kerjasama dari pihak Meta supaya pengguna di Malaysia tidak jadi mangsa. Sebab itu dalam mesyuarat minggu lalu, kita kongsi maklumat ini dengan mereka,” katanya.
Beliau memberitahu , kerugian yang direkodkan disebabkan penipuan yang gunapakai Facebook, pada tahun 2021 sebanyak RM80 juta, diikuti tahun lalu RM92 juta dan tahun ini setakat bulan Jun ialah RM60 juta.
“Berdasarkan trend tahun ini mungkin kerugian boleh mencecah RM120 juta sepanjang tahun.
Bagi direkodkan disebabkan penipuan yang menggunapakai platform Instagram pada tahun 2021 ialah RM20 juta, tahun 2022 RM25 juta dan tahun ini dari Januari hingga Jun ialah RM25 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi penyampaian cek sumbangan Ultimate MMA Fitness and Self Defence Kulai di sini, hari ini.
Menurut Nie Ching, Facebook dan Instagram merupakan media sosial yang digunapakai semua rakyat Malaysia kerana kemudahan yang senang untuk rakyat.
Namun katanya platform sama juga digunakan penjenayah untuk menjalankan aktiviti penipuan.
“Saya menasihati agar pengguna media sosial jangan mudah percaya dan seterusnya menjadi mangsa. Sekarang ini banyak meminta kita menekan pautan, buat bayaran kongsi nombor akaun, kena berhati-hati.
“Mereka (Meta) janji untuk menambah baik usaha dari segi ini dan kita nampak usaha ini. Supaya isu scam tidak menjadi berleluasa kerana ia amat membimbangkan,” katanya.
