Hong Kong kekal bandar paling mahal

LONDON 17 Jun – Hong Kong mengekalkan kedudukan sebagai bandar paling mahal di dunia untuk pekerja ekspatriat berdasarkan indeks global dengan diikuti Singapura dan Zurich di Switzerland.

Selain Zurich, tiga bandar berikutnya terletak di Switzerland yang meliputi Geneva, Basel dan Bern manakala New York di tempat ketujuh disusuli London, United Kingdom; Nassau, Bahamas dan Los Angeles, Amerika Syarikat

Menurut laporan media, London telah naik sembilan anak tangga sejak tahun lalu dan kini berada di kedudukan kelapan dalam penarafan kos sara hidup di bandar oleh Mercer bagi 2024.

Faktor seperti kos sara hidup dan harga sewa menyumbang kepada penarafan itu.

Dalam pada itu, Paris berada di kedudukan ke-29 dan Dublin pada kedudukan ke-41.

Indeks itu merangkumi 226 lokasi di seluruh dunia dan diukur berdasarkan 200 faktor termasuk pengangkutan, makanan, pakaian, barangan isi rumah dan hiburan.

Mercer, sebuah perniagaan Marsh McLennan menyusun penarafan ini bagi membantu majikan multinasional merancang pakej pampasan untuk pekerja.

Peningkatan kos perumahan di kebanyakan bandar di seluruh dunia telah menjadi cabaran kepada majikan, dengan trend inflasi yang tidak menentu juga memberi tekanan kepada pakej pampasan pekerja, menurut Mercer.

Related posts

Leave a Comment