SHAH ALAM 9 Julai – Barisan Nasional (BN) Selangor diperuntukkan lebih 20 peratus daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor, berkata pecahan pembahagian kerusi itu sudah dipersetujui Pengerusi PH, Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut laporan Bernama, kerusi selebihnya akan ditandingi calon Pakatan Harapan (PH) dengan mengambil kira faktor kerusi-kerusi yang disandang parti itu sebelum DUN dibubarkan.
“Faktor semasa keadaan politik, kekuatan terkini antara parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan, selain kebolehcapaian untuk menggabungkan kekuatan kedua-dua parti juga menjadi antara faktor dalam menentukan pengagihan kerusi,” katanya pada sesi temu bual eksklusif bersama Bernama.
Mengambil kira semua faktor terbabit, Amirudin berkata, agihan itu adalah munasabah dan diterima baik kedua-dua parti.
Sebelum ini, BN dilaporkan menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 14 kerusi dalam PRN, mengambil kira kedudukan PH yang memenangi 16 daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November tahun lalu.
Pada PRU 2018, BN menang empat kerusi DUN iaitu Sungai Air Tawar, Sungai Burong, Sungai Panjang dan Hulu Bernam sebelum merampas Semenyih daripada PH dalam pilihan raya kecil pada 2019. PH pula menang 51 kerusi dan Pas satu.
Kedudukan kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PH mempunyai 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah -enam), manakala BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua), selain Pas, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.
Kerusi Batang Kali diisytiharkan kosong pada Februari lalu selepas wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.
