Guan Eng nafi bangkitkan isu 3R

KUALA LUMPUR 9 Jun – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menolak dakwaan beliau sengaja membangkitkan isu 3R (agama, raja, kaum) ketika menyentuh berkenaan perobohan tokong Buddha atau Cina dalam ucapan pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang semalam.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menegaskan, ucapannya dalam bahasa Mandarin telah diputarbelit, seolah-olah ada pihak ingin merobohkan tokong Buddha atau Cina.

“Ini tidak benar. Saya merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu dirobohkan pada Julai 2020 di Kedah.

“Saya amat kesal ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah sengaja memutar belitkan ucapan saya dan menggambarkan seolah-olah membakar sentimen perkauman agama dan kaum,” katanya melalui Facebooknya semalam.

Beliau berkata, tidak terlintas di fikirannya untuk menggunakan isu 3R demi meraih undi kerana yakin ia hanya akan memudaratkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di dalam negara.

“Saya harap semua pihak akan menjunjung keluhuran Perlembagaan yang dengan jelas menyatakan Islam sebagai agama rasmi, dan penganut agama lain bebas mempraktikkan kepercayaan mereka dengan selamat dan aman di mana-mana negeri dalam Persekutuan,” katanya

Sebelum itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, dilaporkan meminta polis menyiasat kenyataan Guan Eng yang mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

Akmal berkata, tindakan itu sebagai memberi amaran keras supaya tidak sesekali mempermainkan isu 3R tanpa mengira parti.

Semalam, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

Related posts

Leave a Comment