PKR 13 kerusi, UMNO 6 di Pulau Pinang?

TANJONG 8 Julai –  PKR dijangka meletakkan calon di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini manakala DAP kekal dengan 19 kerusi dan UMNO mendapat enam kerusi.

Difahamkan, Amanah, satu lagi komponen Pakatan Harapan (PH) dijangka mempertahankan dua kerusi yang dimenangi sebelum ini iaitu Bayan Lepas dan Permatang Pasir.

PKR Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Nurul Izzah Anwar yang memenangi 12 kerusi pada PRU14 dijangka bertanding di kerusi majoriti Melayu termasuk DUN Pulau Betong dan Penanti selain kerusi campuran.

Timbul persoalan adakah nama Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang, itu akan dicalonkan di peringkat DUN selepas gagal mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum lalu.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR itu dalam laporan media pada 31 Mei lalu pernah menafikan beliau akan bertanding di Pulau Pinang pada PRN akan datang.

Terdapat tiga kawasan DUN di Permatang Pauh iaitu Permatang Pasir, Penanti dan Seberang Jaya.

Bagaimanapun difahamkan bekas ADUN Penanti dua penggal merangkap Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin dari PKR juga dijangka kekal di DUN yang sama.

Kerusi Seberang Jaya yang diwakili PKR sebelum ini adalah pilihan yang sesuai sekiranya, Nurul Izzah Anwar berminat bertanding.

Selain Pulau Betong dan Penanti, PKR juga dijangka mendapat DUN Pinang Tunggal yang sebelum ini disandang oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Kerusi lain yang dijangka menjadi pertaruhan PKR adalah Telok Ayer Tawar, Seberang Jaya, Machang Bubok, Bukit Tengah, Bukit Tambun, Sungai Bakap, Kebun Bunga, Batu Uban, Pantai Jerejak dan Batu Maung.

Manakala DAP dijangka mengekalkan 19 kerusi iaitu Sungai Puyu, Bagan Jermal, Bagan Dalam, Berapit, Padang Lalang, Perai, Jawi, Tanjong Bunga, Air Putih, Pulau Tikus, Padang Kota, Pengkalan Kota, Komtar, Datok Keramat, Sungai Pinang, Batu Lanchang, Seri Delima, Air Itam dan Paya Terubong.

Difahamkan, pelancaran jentera dan bilik gerakan utama di seluruh 13 kawasan DUN akan dilancarkan serentak pukul 9 malam ini.

Related posts

Leave a Comment