PH-BN perlu menangkan Selangor

BANGI 8 Julai-  Setiap pendukung Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu mengetepikan perbezaan sebaliknya bekerja sebagai satu pasukan untuk mencapai matlamat yang sama iaitu mengangkat martabat rakyat dan negeri Selangor.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim berkata, Selangor perlu menjadi pembuka lembaran baharu politik negara dengan gerak kerja yang lebih padu dan tersusun daripada setiap ahli serta pendokong parti di dalam PH dan BN.

Justeru beliau mahu semua jentera parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan bekerja keras memastikan kemenangan gabungan itu khususnya bagi menawan hati pengundi yang sebahagiannya daripada golongan cerdik pandai.

Beliau berkata, kemenangan di Selangor tidak hanya berkisar kepada kejayaan PH dan BN semata-mata, sebaliknya ia menjadi simbol kepada usaha Kerajaan Perpaduan mengangkat martabat Malaysia kembali disegani di rantau ini.

“Selangor ini negeri yang ramai dengan orang yang cerdik pandai serta matang dalam politik…negeri ini akan menentukan standard baharu politik di dalam negara ini.

Jadi kita mahu setiap gerak kerja yang dibuat perlulah dengan semangat, keikhlasan selain niat yang betul untuk menyelamatkan rakyat, negeri, agama dan negara daripada mereka yang rakus kuasa,” katanya ketika melancarkan Jentera Perpaduan MADANI Selangor di sini malam tadi.

Turut dihadiri Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepemimpinan tertinggi PH-BN serta Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP)  Tiong King Sing mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Anwar berkata, PH  akan memastikan setiap jentera dikerah bagi membantu kemenangan calon BN di kerusi yang ditandingi.

“Orang PH nak pegang bendera BN jangan rasa susah, begitu juga orang BN bila pegang bendera PH…ingat, kita ada matlamat bersama untuk pertahankan negeri agama, bangsa dan negara,” katanya.

Anwar juga mengajak seluruh ahli parti PH-BN untuk membuktikan Kerajaan Perpaduan kekal kuat melalui kemenangan di Selangor dan juga lima negeri lain iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang terbabit dalam PRN.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan yang komited dalam mempertahankan agama Islam dan orang Melayu mengikut Perlembagaan Persekutuan, perlu dipertahankan bagi memastikan tiada kaum lain tersisih.

“Kepada semua ahli parti dalam Kerajaan Perpaduan, jangan sesekali biarkan negara ini dirosakkan oleh pelampau agama, perkauman yang sempit dan ini harus dibuktikan dengan kejayaan kita dalam PRN nanti,” kata Anwar.

Sementara itu, Ahmad Zahid yakin bahawa Selangor akan terus diterajui oleh Kerajaan Perpaduan gabungan PH-BN sejurus berakhir hari pengundian pada 12 Ogos nanti.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata ini kerana Selangor di bawah pentadbiran PH yang dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari bersikap adil kepada semua kaum yang mencari rezeki di negeri ini.

“Pada malam ini di Bangi ini, kita melihat bahawa rakyat Selangor mahu Kerajaan Perpaduan untuk terus berada (memimpin) negeri ini,” katanya sambil menyatakan keyakinan bahawa Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga akan dipimpin Kerajaan Perpaduan.

Beliau juga menyeru rakyat Kelantan, Terengganu serta Kedah memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir ketiga-tiga negeri itu bagi mengatasi segala isu berkaitan kebajikan yang dihadapi rakyat di sana.

“Marilah bersama dengan Selangor bagaimana negeri ini dimajukan. Kalau Kelantan dapat kita ambil pun kita akan majukannya dan begitu juga dengan Terengganu dan Kedah,” katanya.

Ahmad Zahid juga berkata BN akan menampilkan muka baharu sebagai tanda semangat baharu yang ditunjukkan BN yang pertama kali bekerjasama dengan PH pada pilihan raya negeri.

“Apa yang penting pada 12 Ogos depan, kita akan membuktikan manifesto kita di enam negeri dan untuk BN, Insya-Allah kita akan kemukakan calon-calon muka baharu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment