Sultan Selangor perkenan SOP Jumaat

SHAH ALAM 28 Feb. – Ketetapan terkini solat Jumaat di Selangor termasuk keperluan dos penggalak yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) baru-baru ini telah mendapat perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Mohd Zawawi Mughni, berkata perkenan itu adalah keprihatinan baginda untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 selepas mendapat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Ini berikutan perkembangan terkini pandemik di negeri itu yang menunjukkan peningkatan.

Katanya kerajaan negeri prihatin dengan keluhan dan rungutan umat Islam di Selangor yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat pada 25 Februari lalu berikutan belum menerima dos penggalak.

Ketetapan itu berdasarkan perkenan Sultan Selangor melalui surat arahan JAIS nombor rujukan JALSEL.BPM/01/006/2.JLD.6(13), bertarikh 21 Februari 2022, bertajuk, Arahan Mempertingkatkan Penguatkuasaan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Masjid, Surau dan Musolla Negeri Bagi Mengawal Pandemik COVID-19.

Dalam kenyataannya, Mohd Zawai berkata, pendekatan menggalakkan rakyat negeri ini mengambil dos penggalak adalah bertepatan dengan salah satu prinsip Maqasid Syariah iaitu memelihara nyawa.

Mohd Zawawi berkata, kerajaan negeri amat prihatin terhadap kesihatan dan kemakmuran rakyat jelata dan sentiasa berusaha mengambil tindakan terbaik untuk mencapai maksud itu.

Kerajaan juga yakin bahawa perkenan Sultan Selangor mewajibkan pengambilan dos penggalak bagi menyertai solat Jumaat di masjid adalah berasaskan konsep Fiqhiyyah, iaitu sadd adz-dzara’i.

“Konsep ini bermaksud mencegah sesuatu perkara yang boleh membawa ke arah kerosakan dan bahaya.

“Kerajaan negeri menasihati rakyat negeri agar segera mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 bagi memastikan kesihatan diri sendiri, keluarga dan kepentingan awam, “ katanya.

Related posts

Leave a Comment