Anwar arah Zaki Yamani mohon maaf

KUALA LUMPUR 2 Julai – Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim mengarahkan pengguna media sosial, Zaki Yamani memohon maaf atas hantarannya yang menulis kenyataan biadab terhadap keadaan kesihatan Abdul Hadi Awang.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) kesal dengan tindakan pengguna media sosial itu yang berkongsi ciapan berhubung keadaan kesihatan Presiden Pas yang merosot dan kini sedang dirawat di hospital.

“Saya membantah dan kesal dengan ciapan biadab Zaki Yamani dan mengarahkan beliau untuk memohon maaf dengan kadar segera,” katanya menerusi ciapan di Twitternya.

Semalam pengguna Twitter berkenaan menulis kenyataan biadab terhadap keadaan kesihatan terkini Abdul Hadi dan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Pengguna Twitter berkenaan melalui satu ciapan meminta, agar nyawa Abdul Hadi diambil supaya ‘kerosakan’ yang dibuat dapat dihentikan.

Media sebelum itu melaporkan kesihatan Abdul Hadi dilaporkan merosot dan kini dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan dan pemantauan doktor.

Anak Presiden Pas itu, Muhammad Khalil memaklumkan berita itu dalam hantaran di laman Facebooknya, semalam dan turut memohon orang ramai berdoa dan solat hajat khusus untuk kesembuhan bapanya.

Related posts

Leave a Comment